BELANJAWAN 2027: STR DAN SARA NAIK RM16 BILION, 13 JUTA RAKYAT TERIMA MANFAAT

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion pada 2027 berbanding RM15 bilion sebelum ini, dengan peluasan manfaat bantuan kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.

“Sukacita diumumkan, peruntukan STR SARA 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion, ketimbang RM15 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, masing-masing sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

“Inilah yang akan memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40,” katanya.

Dalam usaha memperluas akses kepada barangan keperluan harian, kerajaan turut membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, setakat ini rangkaian rakan niaga SARA merangkumi 15,000 premis, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.

“Sebelum akhir tahun ini, insya-Allah kerajaan akan meningkatkan kedai runcit kecil kepada 10,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RAKYAT MAHU PEMBANGUNAN SEIMBANG, EKONOMI LEBIH BERDAYA TAHAN
Next post BELANJAWAN 2027: GAJI MINIMUM NAIK RM2,000 BERMULA JUN 2027