KPDN MELAKA BONGKAR TAKTIK BAHARU, RUMAH JADI ‘PORT’ SELEWENG MINYAK

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 9 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka membongkar taktik baharu penyelewengan minyak masak bersubsidi yang kini menjadikan rumah kediaman sebagai pusat pengumpulan dan transit bekalan berkenaan untuk diseleweng.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, perubahan modus operandi itu dikesan menerusi serbuan yang dijalankan di Taman Merdeka, Batu Berendam selepas melakukan risikan selama dua bulan.

Ujarnya, sebelum ini, kegiatan penyelewengan minyak masak sering berlaku di kilang, stor atau premis kedai, namun kini taktik itu sudah berubah.

“Dari luar mungkin kelihatan seperti rumah biasa, tetapi selepas diserbu didapati di dalamnya terdapat kegiatan penyelewengan minyak masak subsidi.

“Disebabkan mereka beroperasi di dalam kawasan taman dan bergerak secara ‘on-off’, kegiatan mereka sangat licik. Pihak kami terpaksa mengambil masa selama dua bulan melakukan intipan teliti, termasuk mengekori kenderaan suspek sebelum operasi serbuan dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita susulan penahanan dua lelaki bersama 425 kilogram minyak masak bersubsidi yang dianggar bernilai RM1,062.50, hari ini.

Dr. Mohd Hazimin berkata, situasi itu menunjukkan kegiatan penyelewengan barangan kawalan kini tidak semestinya tertumpu di premis komersial, kilang atau stor yang tidak berdaftar, sebaliknya boleh dilakukan secara terselindung di kawasan kediaman.

Susulan penemuan itu, beliau memaklumkan, KPDN Melaka akan memperluaskan pemantauan ke seluruh negeri dan tidak hanya memberi tumpuan kepada premis perniagaan atau kawasan perindustrian sahaja.

Katanya, mana-mana kediaman yang dikenal pasti digunakan untuk menyimpan atau mengumpul barangan kawalan secara menyalahi peraturan juga akan diperiksa dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Hazimin menggesa orang ramai, khususnya penduduk kawasan perumahan, supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

“Masyarakat disaran tampil menyalurkan maklumat sekiranya menyedari sebarang pergerakan kenderaan yang kerap keluar masuk, atau aktiviti pemunggahan barangan yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal mereka,” katanya.

Sebarang aduan berkaitan salah laku perdagangan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-2345869.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post ‘INGAT DOKTOR GIGI, INGAT TULEN DENTAL’
Next post PRN MELAKA: RAKYAT MAHU PEMBANGUNAN SEIMBANG, EKONOMI LEBIH BERDAYA TAHAN