BUKAN SEKADAR ‘SULAM’ WARISAN, KOPERASI BABA NYONYA MELAKA ‘UKIR’ PELUANG

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDAR HILIR 10 Oktober – Daripada menghasilkan kebaya, kasut manik dan kerongsang, sebuah koperasi berteraskan warisan Baba Nyonya di Melaka kini melangkah lebih jauh dengan menjadikan kemahiran tradisional sebagai sumber ekonomi, termasuk membuka peluang pendapatan kepada golongan ibu tunggal.

Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad itu bukan sahaja memasarkan produk berasaskan budaya peranakan, malah turut menyediakan kelas kraftangan kepada orang ramai sebagai usaha memastikan kemahiran tradisional terus dipelajari dan diwarisi generasi baharu.

Ahli Lembaga Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad, Corina Lee May Lian berkata, usaha mengembangkan perniagaan itu kini memasuki fasa baharu selepas pihaknya mendapat kelulusan geran serta sebuah bangunan baharu di Wisma Peranakan Tengkera bagi mengembangkan operasi.

Menurutnya, koperasi berkenaan memberi tumpuan kepada penghasilan dan jualan produk berkaitan budaya Baba Nyonya termasuk kebaya, kerongsang, brooch serta kasut manik.

“Pada masa sama, kita juga menganjurkan kelas kraftangan dan memang mengalu-alukan orang ramai untuk datang belajar.

“Lebih penting, kemahiran ini juga bakal diperluaskan kepada golongan ibu tunggal menerusi kelas jahitan dan kraftangan seperti membuat kasut manik dan sulaman kebaya.

“Hasil kraftangan mereka nanti akan kita jual melalui koperasi. Jadi, kita bukan sahaja menjaga warisan, tetapi pada masa sama membantu mereka menjana pendapatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hasil pelbagai usaha memperkasa perniagaan, Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad telah dipilih sebagai penerima Anugerah Koperasi Komuniti Terbaik Tahun 2026 pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK’26) di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Anugerah tersebut telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Corina, anugerah tersebut merupakan satu kejutan untuk koperasi berkenaan selepas melalui pelbagai jerih-perih dan jatuh bangun selama ini.

Namun, katanya, hasil usaha dan kesungguhan untuk terus mencuba serta mencari ruang dan peluang baharu membolehkan koperasi itu terus berkembang.

“Pada masa sama, penyertaan dalam pelbagai program keusahawanan turut membantu kami mendapatkan idea baharu, memperluas jaringan serta mengenal pasti peluang untuk mengembangkan perniagaan.

“Bagi kami, anugerah ini menjadi penyuntik semangat untuk terus melebarkan sayap. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan SKM di atas pengiktirafan ini,” ujarnya.

Tambah Corina, Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad kini terus bersemangat untuk terbang tinggi sebagai sebuah ‘social enterprise’ yang bukan sahaja memperjuangkan identiti dan warisan Baba Nyonya, malah mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post 10 ANAKONDA HIJAU LAHIR DI MELAKA, BAKAL CIPTA REKOD
Next post DUN AYER LIMAU BAKAL MILIKI SEKOLAH AGAMA BERASRAMA PENUH