
DUN AYER LIMAU BAKAL MILIKI SEKOLAH AGAMA BERASRAMA PENUH
AYER LIMAU 10 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau bakal memiliki sebuah sekolah menengah kebangsaan agama berasrama penuh bernilai lebih RM100 juta yang dijangka siap dan mula beroperasi pada sesi persekolahan 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembangunan sekolah berkenaan di Kampung Paya Rumput antara projek besar yang sedang dilaksanakan di kawasan itu bagi memperkukuh akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda.
Katanya, sekolah berkenaan bakal menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak di Ayer Limau menerusi pendekatan pendidikan agama dan sains dalam sebuah institusi berasrama penuh.
“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa, di Ayer Limau juga sedang ada satu pembinaan sebuah sekolah menengah agama dengan nilai kos lebih RM100 juta.
“Ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2027. Jadi insya-Allah pada sesi 2028 akan ada sebuah sekolah baharu di DUN Ayer Limau, iaitu sekolah menengah berasrama penuh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan sekolah dengan 25 bilik darjah, selain asrama, kuarters guru serta lain-lain kemudahan.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri memaklumkan, pembangunan sekolah baharu itu melengkapkan usaha Kerajaan Negeri dalam memperluas kemudahan pendidikan selain pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan di DUN berkenaan.
Katanya, kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada sektor pendidikan negara dan negeri, khususnya dalam memperluaskan akses kepada pendidikan agama dan kemudahan berasrama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

