
BELANJAWAN 2027: KERAJAAN BERTEKAD KURANGKAN RISIKO BANJIR SUNGAI RAMBAI
KUALA LUMPUR 9 Oktober – Kerajaan bertekad mengurangkan risiko banjir menerusi pelaksanaan Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu selaras dengan konsep keserataan pembangunan negeri yang mengambil kira keperluan dan keadaan berbeza setiap negeri bagi memastikan rakyat berpeluang menikmati kemajuan.
“Negeri yang telah maju perlu terus mencipta lonjakan, manakala negeri yang sedang berkembang diberikan ruang untuk mempercepat langkah dan wilayah yang masih ketinggalan diperkasakan bagi merapatkan jurang perbezaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Melaka telah mengemukakan permohonan pelaksanaan RTB Sungai Rambai kepada kerajaan Persekutuan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, projek itu membabitkan peruntukan hampir RM300 juta dan diharap dapat direalisasikan bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan secara menyeluruh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


