BELANJAWAN 2027: BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN NAIK RM200, PELAJAR TINGKATAN 6 DAPAT ELAUN RM2,500

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027, membabitkan peruntukan RM1 bilion bagi memanfaatkan 5.3 juta murid di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan di sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai usaha bersama meningkatkan kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.

“Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid. Ini bermakna, keluarga dengan empat orang anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, penyaluran bantuan di sekolah juga bertujuan menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak menerusi hubungan lebih rapat dengan guru.

“Bantuan ini akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa dapat hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai tanggungjawab bersama bagi kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menyediakan elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam, menyamai kadar elaun yang diterima pelajar matrikulasi.

Anwar berkata, inisiatif itu dijangka memanfaatkan 90,000 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara.

Selain itu, ujar beliau sebanyak RM870 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan memanfaatkan lebih 800,000 murid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post KEHIDUPAN ANAK KAMPUNG CETUS ILHAM KAMPUNG DIGITAL
Next post BELANJAWAN 2027: SUNGAI RAMBAI BAKAL MILIKI BALAI POLIS BAHARU