BELANJAWAN 2027: 100,000 LANGGANAN AI PERCUMA UNTUK ANAK MUDA

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Sebanyak 100,000 lagi langganan kecerdasan buatan (AI) percuma bakal ditawarkan kepada golongan muda, termasuk akses kepada aplikasi baharu seperti ChatGPT, bagi memperluas peluang menguasai teknologi digital dan kemahiran berasaskan AI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif langganan AI percuma yang diperkenalkan sebelum ini.

“Susulan sambutan menggalakkan bagi langganan AI percuma kepada anak muda, sukacita diumumkan ikhtiar ini diperhebat dengan menambah 100,000 lagi langganan AI percuma dan diperluas meliputi aplikasi AI baharu termasuk ChatGPT,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk mendalami bidang berpotensi tinggi seperti pengekodan (coding), sains data dan teknologi kuantum.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pembangunan teknologi AI perlu dilaksanakan seiring dengan usaha melindungi kepentingan serta keselamatan negara.

Sehubungan itu, pembangunan Sovereign AI Cloud sedang dirancang bagi memastikan data rakyat dan maklumat strategik negara kekal di bawah kawalan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post INTI PATI BELANJAWAN 2027
Next post BELANJAWAN 2027: PENDAPATAN PENGGIAT E-HAILING, P-HAILING DIJANGKA NAIK