
INTI PATI BELANJAWAN 2027
Masa Membaca:9 Minit, 44 Saat
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Berikut merupakan inti pati Belanjawan 2027 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan MADANI Kelima ini merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memastikan isi rumah dilindungi melalui bantuan bersasar serta disokong oleh akses yang lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti dan perlindungan sosial.
- Jumlah keseluruhan subsidi, bantuan dan insentif lebih RM80 bilion, dengan subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir RM3.3 bilion
- Had pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000 daripada RM9,000, kali terakhir disemak 2010
- Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan
- Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus
- Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus
- Kadar cukai bagi yang berpendapatan tinggi melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus
- Kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar individu bakal beri lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai
- Kesenjangan produktiviti dan upah pekerja mesti dirapatkan ekoran beban kos sara hidup berbangkit
- Kerajaan setuju pertingkat kadar gaji minimum kepada RM2,000 daripada RM1,700 berkuat kuasa Jun 2027, pengecualian kepada PMKS dengan hasil jualan bawah RM50 juta
- Kerajaan akan laksana pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan
- Kerajaan sambut baik komitmen GLIC, GLC pertingkat penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 berbanding RM3,100 sebulan, beri manfaat kepada 230,000 pekerja
- Syarikat selain PMKS hanya boleh tuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji, sekiranya dibayar melalui akaun bank selaras dengan saluran dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955
- Majlis perundingan gig akan muktamadkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial pekerja gig pada awal 2027
- Kerajaan, Grab setuju biayai bersama pakej bernilai RM160 juta untuk tingkatkan pendapatan bersih, tambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula 2027
- Median pendapatan bersih pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan manakala pendapatan penghantar p-hailing naik sehingga RM100 sebulan
- Kerajaan tawar insentif caruman padanan PERKESO 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, insentif ditingkatkan kepada 50 peratus jika syarikat platform tanggung caruman pekerja
- Kerajaan tawar insentif caruman padanan PERKESO 70 peratus kepada lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori
- Pelepasan cukai PERKESO meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri diperluas, pelepasan tambahan sehingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri
- Kerajaan tawar insentif caruman padanan KWSP kepada sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup, galak simpanan persaraan pemandu e-hailing dan p-hailing
- BSN dan Agrobank sedia RM270 juta biaya pekerja gig untuk meniaga dan beli rumah pertama
- Warganegara akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun bagi perkukuh perlindungan sosial dan simpanan persaraan bermula lebih awal
- Khazanah, InvestPenang wujudkan Dana Pelaburan Strategik RM100 juta bantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan
- Pembangunan LuMIC sebagai hab maritim di Lumut diperhebat bagi menarik pelaburan dan pekerjaan
- Automotive Hi-Tech Valley diangkat sebagai hab automotif serantau di Tanjong Malim
- Potongan cukai kos penempatan semula hingga RM5 juta bagi perbelanjaan mulai 1 Jan 2027-31 Dis 2030, galak syarikat vendor automotif tempatan sepenuhnya pindah operasi ke LuMIC, Automotive Hi-Tech
- Kerajaan bangun infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping serta Zon Ekonomi Agribio NCER
- Kulim Hi-Tech Park tarik pelaburan semikonduktor dunia yang membuka pekerjaan mahir dan peluang perniagaan untuk anak Kedah
- Kerajaan Persekutuan mulakan rundingan rasmi bagi memuktamad kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Sibu, Sarawak
- Kerajaan perkenal inisiatif sukuk simpanan runcit bertoken membolehkan rakyat melabur dalam sukuk kerajaan
- Petronas telah memulakan pembangunan 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik
- Kerajaan sedia 50 ekar tanah strategik bernilai RM1 bilion sekitar KL sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera, bakal dibangunkan PNB
- Nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan untuk kontraktor bumiputera G1-G4 ditingkatkan kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion tahun ini
- Had perolehan lantikan terus dibenarkan sehingga RM200,000 dan sebut harga dibenarkan sehingga RM3 juta bagi kerja selenggara, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan
- TERAJU sedia pembiayaan sehingga RM1 bilion, keupayaan diperkasa supaya dapat memantau dengan lebih berkesan projek Bumiputera merentas semua jabatan, agensi dan Syarikat
- Dana pembiayaan oleh PUNB ditingkatkan kepada RM500 juta
- GLC dan Petronas sasar perolehan RM58 bilion daripada syarikat bumiputera
- Syarikat GLIC akan melabur RM2 bilion untuk memperkasakan syarikat bumiputera
- Dana Ciptawan RM250 juta diwujudkan Khazanah dan TERAJU bagi menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan bumiputera
- Kerajaan bangunkan taman solar berpusat untuk bangunan kerajaan dengan pelaburan RM1.5 bilion
- Program 10 Juara Bumiputera diteruskan dengan peruntukan RM40 juta bagi bangunkan 15 syarikat berpotensi menjelang 2027
- Kerajaan beri pengecualian cukai pendapatan 40 peratus bagi tahun taksiran 2028 hingga 2030 kepada penyedia perkhidmatan pengurusan dana patuh Syariah
- Penerbit Sukuk Prisma layak terima potongan cukai atas kos penerbitan yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi tahun taksiran 2027 hingga 2030
- Geran diterima di bawah Skim Sukuk SRI, Geran Bon diberi pengecualian cukai pendapatan mulai 1 Jan 2027
- Kerajaan sediakan geran padanan sehingga RM5,000 kepada PMKS yang mahu dapatkan sijil halal kali pertama
- Kerajaan beri geran berjumlah RM25,000 perkasa PMKS yang terlibat dalam bidang kosmetik dan farmaseutikal halal
- Kerajaan, MAHB sedia RM1.1 bilion tambah baik jalan kawasan pelabuhan, lapangan terbang di Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan, Pulau Pinang serta STOLport Long Banga dan Ba’Kelalan, Sarawak
- Kerajaan setuju perkenal semula klausa perubahan harga khusus untuk menampung kenaikan kos diesel dan bitumen
- TNB labur RM15 bilion perkukuh Grid Nasional bagi menjamin kelangsungan permintaan elektrik negara
- UEM Lestra labur RM1 bilion termasuk laksanakan projek penyimpanan tenaga di KLIA dan projek tenaga hibrid berkapasiti 1 gigawatt di Johor
- Dana Iklim KWAP RM1 bilion dimanfaat untuk projek hijau seperti tenaga boleh baharu dan penyahkarbonan
- Galakan cukai ditambah baik dan dilanjut sehingga 31 Dis 2030 untuk dorong lebih banyak syarikat beralih kepada teknologi hijau dan lestari
- Syarikat beli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri layak dapat Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus
- Kerajaan sedia pembiayaan hibrid RM100 juta bantu penanaman semula sawit milik 4,500 pekebun kecil
- Pembiayaan mudah RM200 juta diperkenal bagi biayai kos tanam semula sawit berkeluasan hingga 40 hektar, bayaran balik ditangguh empat tahun, pekebun hanya tanggung faedah dua peratus dan baki faedah ditanggung kerajaan
- Kerajaan setuju naikkan kadar insentif pengeluaran getah kepada RM3.30 sekilogram, bakal beri manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil
- Setakat September, 290,000 pekebun kecil terima RM400 sebulan sebagai bantuan subsidi
- Kerajaan lulus RM1.26 bilion untuk jamin pengukuhan kewangan FELDA, selenggara jalan serta perumahan generasi FELDA bagi 2027
- Pertumbuhan ekonomi 2026 diunjur berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus
- Pertumbuhan KDNK 2027 diunjur terus berkembang antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus
- Kerajaan setuju turunkan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan bagi membantu usahawan yang berdepan kenaikan kos operasi
- Kadar bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama bagi usahawan PMKS akan diturunkan kepada 14 peratus
- Kadar pendapatan bercukai banjaran RM150,000-RM600,000 diturunkan kepada 16 peratus, beri pendapatan tambahan sehingga RM6,000 kepada 300,000 PKMS
- Had nilai setiap aset kecil yang layak mendapat elaun modal dinaikkan kepada RM3,000, bagi syarikat selain PMKS had keseluruhan tuntutan dinaikkan kepada RM30,000
- Pengilang boleh tuntut semula cukai bagi mesin, alat ganti dan peralatan dibeli daripada pedagang atau pengedar tempatan termasuk bahan mentah hasilkan produk farmaseutikal, makanan ternakan, baja, racun perosak
- Elaun Modal Dipercepatkan bagi perbelanjaan loji dan jentera tempatan serta peralatan dan perisian ICT dilanjut hingga 31 Dis 2030 untuk pertingkat produktiviti syarikat tempatan
- Kerajaan cadang perjanjian guna lebihan kredit mulai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030 dikenakan duti setem RM10 bagi bantu aliran tunai PMKS
- Duti setem hanya RM10 bagi perjanjian pinjaman melalui platform pembiayaan antara rakan setara mulai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030
- Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa mulai 1 Jan 2027
- Pembiayaan mikro ditingkatkan kepada RM6.6 bilion pada 2027
- BNM setuju tambah RM5 bilion dana pembiayaan bantu PKS terkesan konflik Asia Barat
- Kumpulan BPMB peruntuk RM7 bilion di bawah tujuh sektor strategik bagi menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi dan sektor teras pembangunan
- SJPP dan CGC sedia jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion
- Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan SJPP dan CGC akan ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion bagi 2027
- Kerajaan peruntuk RM60 juta kepada MATRADE tahun depan bagi membina keupayaan syarikat tempatan tembusi dan pelbagaikan pasaran luar
- BPMB sedia pembiayaan RM1 bilion bagi menyokong PMKS tempatan teroka pasaran eksport
- Platform NADI diperhebat dengan peruntukan RM142 juta bagi membolehkan lebih ramai usahawan muda memanfaatkan perniagaan dalam talian
- CAAM labur RM50 juta untuk bangunkan sistem digital yang mengurus ruang udara, tapak ujian nasional dan piawaian keselamatan
- RUU e-dagang akan dibentangkan pada mesyuarat akan datang bagi perkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian
- Jelawang Capital Khazanah dan Dana Perintis KWAP labur RM450 juta bagi pembangunan syarikat pemula niaga
- Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP, Dana MTC Khazanah berjumlah RM2.1 bilion akan dimanfaat untuk perkukuh syarikat pertengahan E&E, digital, aeroangkasa, peranti perubatan
- RM270 juta disediakan untuk menyokong PKS, syarikat pertengahan dan perusahaan sosial bagi menarik modal swasta melalui platform Pendanaan Awam Ekuiti dan P2P
- Pengecualian cukai pendapatan dilanjut kepada pelabur individu melalui platform ECF serta pelabur mangkin yang membiayai pemula niaga teknologi peringkat awal hingga 31 Dis, 2030
- Cradle Fund diperuntukkan RM41 juta bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup dan geran pembangunan prototaip serta komersial
- SemiconStart MTDC sedia pelaburan ekuiti susulan kepada syarikat pemula niaga seperti reka bentuk IC dan pembungkusan termaju
- Reformasi MADANI kembalikan keyakinan pelabur, Malaysia melonjak ke tangga 15 Indeks Daya Saing Dunia, tangga pertama sebagai destinasi nomad digital dalam Rumavi Global Relocation Indeks 2026
- Kerajaan tambah baik galakan cukai GSH mulai 1 Jan, termasuk kadar cukai istimewa 5 peratus diberikan ke atas pendapatan bagi syarikat baharu
- Kadar cukai istimewa 5 peratus ke atas pendapatan melebihi pendapatan asas ditetapkan bagi syarikat Hab Prinsipal atau GSH sedia ada
- Tempoh galakan GSH dilanjutkan setiap lima tahun hingga maksimum 30 tahun
- Syarikat GSH mengurus perbendaharaan dan dana dikecualikan cukai pegangan bagi bayaran faedah, duti setem perjanjian pinjaman antara syarikat termasuk aktiviti di bawah pakej JS-SEZ
- Elaun Pelaburan Semula dikaji semula, syarat kelayakan dan cara insentif diberikan dikaji supaya lebih bersasar
- Suruhanjaya Sekuriti dan pengawal selia Hong Kong meterai kerjasama memudahkan syarikat Malaysia menyenaraikan saham di kedua-dua pasaran
- Pengecualian penuh cukai pendapatan kepada syarikat kapal Malaysia dilanjutkan hingga tahun taksiran 2036
- Duti setem pinjaman membeli, membina kapal Malaysia diberi kadar tetap RM2,000 bagi pinjaman sehingga RM100 juta atau RM5,000 bagi pinjaman melebihi RM100 juta
- JS-SEZ catat RM132 bilion pelaburan dari 2025 hingga Jun 2026
- PM Anwar, PM Wong akan lancar Pelan Induk dan Pelan Tindakan JS-SEZ pada akhir tahun ini
- Model pejabat pelbagai keluarga diperkenalkan di Forest City bagi menawarkan khidmat kepada beberapa keluarga termasuk dana SFO yang diluluskan
- Perdagangan di koridor Bukit Kayu Hitam–Sadao mencecah RM27 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini
- Kerajaan peruntuk RM459.8 bilion bagi Belanjawan 2027, tambahan RM50.2 bilion pelaburan GLIC, Awam-Swasta dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, menjadikan Belanjawan MADANI Kelima bernilai RM510 bilion
- Sebanyak 30.2 peratus daripada RM459.8 bilion jumlah keseluruhan Belanjawan 2027, disalurkan kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan
- Daripada RM50.2 bilion, RM25.0 bilion pelaburan GLIC, RM11 bilion pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun dan Syarikat MKD
- Belanjawan 2027 peruntuk RM169.4 bilion untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan – MoF
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
248


