
10 ANAKONDA HIJAU LAHIR DI MELAKA, BAKAL CIPTA REKOD
AYER KEROH 10 Oktober – Melaka melakar sejarah apabila seekor induk anakonda hijau (Eunectes murinus) di sebuah pusat pelancongan di Ayer Keroh berjaya melahirkan 10 ekor anak, sekali gus menjadi yang pertama di Malaysia merekodkan kejayaan itu.
Kelahiran spesies itu di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka pada pada 5 Oktober lalu juga membuka peluang kepada pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR), sekali gus bakal menjadi pencapaian ketiga taman berkenaan.
Pengarah Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, kejayaan itu adalah menerusi pembiakan sepenuhnya dalam kurungan, sekali gus menjadi satu detik bersejarah di negara ini.
“Ini merupakan detik bersejarah kerana Diana (ibu ular) sendiri dilahirkan di fasiliti kami pada Ogos 2020. Kini, selepas enam tahun, ia melahirkan 10 ekor anak, menjadikannya generasi kedua (F2) yang dibiakkan sepenuhnya di sini.
“Kejayaan pembiakan kurungan 100 peratus ini adalah yang pertama seumpamanya. Jika kita angkat pencapaian ini untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR memang amat layak dan berpotensi besar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, selain kejayaan pembiakan anakonda generasi kedua itu, taman berkenaan turut meraih dua pencapaian lain, iaitu memiliki populasi anakonda hijau dan anakonda kuning terbanyak di Malaysia serta menempatkan anakonda hijau terbesar di negara ini.
“Kelahiran 10 anak baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan anakonda hijau dan anakonda kuning di sini melebihi 40 ekor, di mana ia merupakan populasi terbanyak.
“Manakala bagi pencapaian ketiga, anakonda hijau betina dikenali sebagai Amber dilaporkan berukuran sepanjang 17 kaki dengan diameter badan hampir 12 inci, sekali gus menjadi spesies terbesar ketika ini,” katanya.
Menurut Gerard, kejayaan pembiakan itu turut memperkukuh peranan taman berkenaan dalam usaha mengekalkan populasi anakonda di Malaysia, selain memberi peluang kepada orang ramai mengenali spesies reptilia berkenaan tanpa perlu ke luar negara.
“Banyak penjaga zoo (zookeepers) di luar negara berbangga kerana mereka berjaya membiak ular sawa (reticulated python). Kini, kita di Malaysia juga boleh membuktikan dengan bangga bahawa kita mampu melakukan keajaiban pembiakan yang sama terhadap ular terbesar di dunia.
“Dengan wujudnya 10 ekor anak ini, kelangsungan keturunan anakonda hijau akan kekal berada di Malaysia untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Jika rakyat kita ingin melihat anakonda, tidak perlu ke luar negara lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


