
SUNGAI UDANG: RAIS BERI BAYANGAN ‘SUDAH TERANG LAGI BERSULUH’
SUNGAI UDANG 11 Oktober – ‘Sudah terang lagi bersuluh’ menjadi bayangan dan isyarat daripada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin berhubung kemungkinan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Isyarat itu diberikan selepas beliau melawat ke Bilik Gerakan Barisan Nasional N11 DUN Sungai Udang yang juga menjadi Pusat Operasi DUN di bawah Parlimen Tangga Batu yang terletak kawasan lapang Bandar Baru Sungai Udang, berhadapan Kompleks Penjara Sungai Udang, hari ini.
Justeru, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memohon kepada warga Sungai Udang agar memberinya peluang untuk terus berkhidmat di kawasan itu selepas tiga tahun menjadi Penyelaras DUN di kawasan tersebut.
“Mohon rakyat di Sungai Udang, bantulah sama-sama. Kita doa sama-sama dan berilah peluang kepada saya untuk meneruskan perkhidmatan saya di sini.
“Sebelum ini saya bergelar penyelaras, kali ini saya berharap dapat menjadi wakil rakyat untuk DUN Sungai Udang ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rais berkata, sokongan rakyat amat penting dalam menentukan masa depan lima tahun di DUN itu dan dirinya bersedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya dicalonkan dan diberi mandat.
“Terima kasih diucapkan kepada orang-orang Sungai Udang yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini. Insya-Allah, kita sama-sama doakan agar perkhidmatan saya untuk rakyat di kawasan ini tidak terhenti,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


