
EKONOMI BIRU MASA DEPAN MELAKA
TANJUNG BIDARA 11 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa pertumbuhan Ekonomi Biru atau ‘Blue Economy’ bakal menjadi sumber utama kekayaan dan masa depan negeri Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, potensi besar kawasan pesisir pantai Melaka perlu diteroka menerusi perancangan pembangunan yang dikemas kini bagi menjadikan negeri itu sebuah negeri masa depan dengan kawasan ekonomi baharu yang lebih luas.
Menurutnya, pembangunan pesisir pantai perlu menjadi antara agenda utama kerana masih terdapat kawasan tambak laut yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, namun memerlukan penyelesaian terhadap beberapa isu sebelum mampu menarik lebih banyak pelaburan.
“Untuk merealisasikan visi dan impian ini, kita perlu melihat dan merujuk semula beberapa perkara dan membuat perancangan yang lebih tersusun.
“Visi ini memerlukan perancangan jangka panjang supaya potensi kawasan pesisir dapat dimanfaatkan secara menyeluruh, sekali gus menjadi antara pemacu pembangunan Melaka untuk tempoh akan datang,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, antara perkara yang sedang diusahakan ialah mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan supaya lebuh raya dapat dibina melalui kawasan persisir pantai Melaka.
Jelas beliau, jaringan jalan raya berkenaan penting bagi membuka akses kepada kawasan pesisir sekali gus membolehkan potensi Ekonomi Biru Melaka dibangunkan dengan lebih menyeluruh.
“Kita sedang memohon pada Kerajaan Persekutuan supaya lebuh raya pantai ini mesti melalui pesisir pantai Melaka supaya kita boleh memajukan kawasan pesisir pantai Melaka ini menjadi satu kawasan yang dipanggil Ekonomi Biru.
“Jika itu berlaku, kita akan jauh lebih maju kerana kita mempunyai kawasan yang cukup untuk dibangunkan sebagai kawasan ekonomi baharu,” katanya.
Menurutnya, pembangunan jaringan pengangkutan yang menghubungkan kawasan pesisir dengan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut mampu membuka ruang kepada limpahan ekonomi baharu.
“Kalau kita ada lebuh raya baharu yang mendekatkan kita dengan KLIA, maka kita juga akan mendapat nikmat pembangunan dan ekonomi yang akan disuntik di dalam kawasan persisir pantai Melaka ini.
“Ini antara perkara yang saya mahu lihat dalam lima hingga ke 10 tahun lagi,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

