
JEREBU: KURANGKAN AKTIVITI LUAR, ELAK UDARA TERCEMAR
SUNGAI UDANG 11 Oktober – Rakyat Melaka dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu yang masih berada pada tahap tidak sihat, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata, meskipun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari ini semakin baik, namun orang ramai masih boleh terdedak kepada risiko udara tercemar.
“Buat para ibu bapa, seeloknya janganlah biarkan anak berada di luar rumah dan terdedah dengan udara yang tidak sihat.
“Kita sama-sama mendoakan agar hujan turun dalam waktu terdekat supaya jerebu ini akan beransur pergi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Taman Terendak Permai dan Bukit Terendak, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan bagi menangani situasi jerebu, Rais memaklumkan, Kerajaan Negeri masih menunggu tindakan dan keputusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Setakat ini, di peringkat Kerajaan Negeri kita masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa. Insya-Allah, jika ada perkembangan, kita akan maklumkan,” katanya.
Mengikut data Jabatan Alam Sekitar setakat tengah hari tadi, kesemua tiga stesen di Melaka merekodkan bacaan IPU sederhana dengan Bandaraya Melaka pada bacaan IPU 97, Bukit Rambai 94 dan Alor Gajah 92.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

