STL 2026: MELAKA TITANS BURU SEBANYAK MUNGKIN GELARAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – Melaka Titans mempertaruhkan gandingan pemain kebangsaan berpengalaman dan pemain import Thailand, Aekasit Naphom bagi memburu sebanyak mungkin gelaran dalam saingan CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier League 2026.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, gabungan pemain berpengalaman dan bakat tempatan itu diyakini mampu membantu pasukan memberikan saingan sengit sepanjang tujuh sirkit yang dijadualkan.

Katanya, PASTAM tidak menetapkan sasaran khusus, sebaliknya mahu pemain memberikan aksi terbaik bagi membawa pulang sebanyak mungkin kejuaraan kepada Melaka.

“PASTAM tidak mahu meletakkan bebanan kepada pemain, tetapi saya percaya dengan adanya gandingan ini, kita mampu menggapai sesuatu yang amat berharga pada tahun ini.

“Kita akan mengambil peluang daripada satu sirkit ke satu sirkit dan membawa pulang sebanyak mungkin gelaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Jersi Melaka Titans sempena CelcomDigi STL Premier League 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Abu Jimi Samat.

Menurutnya, kehadiran Aekasit yang berperanan sebagai apit kanan atau ‘killer’ bagi membantu Mohamad Azlan Alias turut menambah kekuatan pasukan, selain pengalaman pemain kebangsaan seperti Mohammad Syahir Mohamad Rosdi, Muhammad Zaim Razali dan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican.

“Sirkit ketiga STL Premier League 2026 yang akan diadakan di Stadium Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit dijangka menjadi antara medan penting buat Melaka Titans memburu kejuaraan di laman sendiri.

“Saya berharap pasukan ini terus mendapat sokongan Yang di-Pertua Negeri, Ketua Menteri Melaka, Majlis Sukan Negeri Melaka, penaja dan penyokong bagi menyuntik semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post PPSPM SASAR 5,000 MURID SERTAI PAKEJ SEKOLAH MELAKA RIVER CRUISE
Next post PEKA B40, MEDIPULIH SERAH KAD RAHMAH BLOOM MEKAR KEPADA 84 ANAK ASNAF