
JEREBU: SEKOLAH DITUTUP, PKSK DAN STAM TETAP BERJALAN
AYER KEROH 12 Oktober – Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Melaka diteruskan mengikut jadual ditetapkan meskipun semua institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarahkan tutup esok susulan keadaan jerebu.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, penutupan institusi pendidikan pada Selasa, 13 Oktober itu dibuat berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkaitan berada pada tahap tidak sihat.
“Bagaimanapun, calon PKSK dan STAM diminta merujuk makluman serta arahan lanjut menerusi laman Facebook rasmi JPN Melaka berhubung pelaksanaan pentaksiran dan peperiksaan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan, proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan melaksanakan Bekerja dari Rumah (BDR), manakala murid yang tinggal di asrama perlu meneruskan PdPR di asrama sekolah masing-masing.
“JPN Melaka akan terus memantau perkembangan semasa termasuk bacaan IPU dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat perubahan terhadap pengoperasian institusi pendidikan.
“Ibu bapa, penjaga, calon peperiksaan dan pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi JPN Melaka bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini, dengan kesihatan serta keselamatan seluruh warga pendidikan kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


