
BUKAN DEMI RUPA, DUA PESERTA BIGGEST LOSER PILIH HIDUP LEBIH SIHAT
AYER KEROH 19 Oktober – Bukan sekadar pertandingan menurunkan berat badan, The Biggest Loser KBS Peringkat Negeri Melaka 2026 menjadi platform menggalakkan peserta mengubah gaya hidup dan mengutamakan kesihatan menerusi amalan pemakanan seimbang serta aktiviti fizikal secara konsisten.
Pertandingan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka itu merangkumi sesi intervensi dan penimbangan berat badan sebelum kemuncak penyampaian gelaran johan sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, di sini.
Bagi johan kategori lelaki, Muhammad Arif Osman, 42, dari Krubong, kesedaran menjaga kesihatan timbul apabila dia mula mudah mengantuk walaupun ketika duduk, selain mengalami sesak nafas ketika membaca bacaan dalam solat sebagai imam masjid.
Keadaan itu mendorongnya mencari jalan untuk meningkatkan tahap kesihatan sebelum mengambil keputusan menyertai program berkenaan selepas melihat hebahannya di media sosial.
Sepanjang empat bulan menyertai program itu, Arif mengawal pengambilan kalori dan saiz hidangan, selain melakukan aktiviti fizikal seperti power walking dan tai chi.
“Sebenarnya kita kurus ini sebab kita nak sihat. Perkara paling penting ialah kesihatan, bukan semata-mata mahu kelihatan cantik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sokongan isteri yang membantu menyediakan makanan lebih sihat menjadi antara faktor penting untuknya kekal konsisten. Arif berharap program berkenaan dapat diteruskan kerana mampu memberi peluang kepada masyarakat membina gaya hidup lebih sihat.
Sementara itu, johan kategori wanita, Hasnita Mohd Leham, 50, dari Lendu, menyertai pertandingan itu kerana mahu mengurangkan berat badan yang dirasakan semakin menyukarkan pergerakannya, selain menjaga kesihatan.
Pengalamannya mengikuti program KBS selama tiga tahun turut membantu membentuk disiplin untuk kekal aktif, jika penyertaannya tahun lalu sekadar mencuba, kali ini dia lebih bersungguh-sungguh dan tidak mahu terlepas aktiviti yang dianjurkan.
Daripada segi pemakanan, Hasnita mengurangkan pengambilan gula, mengambil nasi bersama sayur-sayuran dan memastikan tidak meninggalkan sarapan, dia juga kerap melakukan aktiviti berjalan pantas serta menyertai acara larian santai bersama rakan-rakan.
“Saya memang minat sukan dan akan terus aktif. Saya juga menggalakkan orang ramai menyertai program seperti ini untuk menjaga kesihatan kerana aktiviti yang dianjurkan menarik,” katanya.
Sokongan rakan-rakan yang turut menyertai aktiviti sukan menjadi antara pendorong Hasnita untuk terus mengamalkan gaya hidup aktif meskipun sudah berusia 50 tahun.
Hasil usaha sepanjang program, Arif berjaya menurunkan berat badan sebanyak 24.9 kilogram (kg), daripada 126.7 kg kepada 101.8 kg, Hasnita pula mencatatkan penurunan sebanyak 20.4 kg, daripada 95.5 kg kepada 75.1 kg.
Kedua-duanya berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, tanpa mengira usia atau tahap kecergasan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


