NAIK TARAF PENCAWANG ELEKTRIK PEMANGKIN PEMBANGUNAN SELANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ASAHAN 31 Oktober – Penggunaan tenaga elektrik yang semakin meningkat susulan pembangunan semakin rancak sekitar Selandar, mendorong kepada penyediaan Bangunan Pencawang Pembahagi Utama (PPU) bagi memastikan kapasiti tenaga disalurkan mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Selandar Sapian Dhabal berkata, naik taraf sistem agihan elektrik itu juga penting bagi menyokong perkembangan sektor industri di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Katanya, pembinaan PPU yang sudah mencapai kemajuan 55 peratus itu merupakan langkah proaktif dalam memastikan infrastruktur bekalan elektrik di Selandar mampu menampung permintaan semasa dan keperluan pembangunan pada masa hadapan.

“Selain pertambahan penduduk susulan daripada taman perumahan pembangunan di Selandar juga semakin bergerak maju untuk itu bekalan elektrik yang mencukupi diperlukan bagi menampung keperluan penduduk serta industri.

“Pembinaan PPU yang menyediakan sistem bekalan elektrik pada dua tahap voltan, iaitu 33 kilovolt (kV) bagi keperluan industri dan 11kV bagi kawasan kediaman serta perumahan dapat menangani daripada berlaku gangguan elektrik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, pembinaan yang dijangka siap pada awal tahun 2027 itu diharap dapat memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk setempat selain menyokong kesejahteraan, sekali gus memastikan keperluan bekalan elektrik di Selandar terus terjamin.

“Pembinaan PPU juga membuktikan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri khususnya penyandang kerusi DUN Asahan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menyediakan kemudahan utiliti kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu Sapian berkata, sepanjang hampir empat tahun berkhidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam melaksanakan pelbagai usaha pembangunan serta kebajikan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“Ini termasuk bantuan menggantikan bumbung kediaman lebih 10 penduduk, pembinaan empat rumah baharu untuk golongan asnaf dan empat lagi dibawah Projek Mesra Rakyat (PMR).

“Usaha ini turut merangkumi naik taraf gelanggang futsal di Dewan Kasturi dengan peruntukan kira-kira RM50,000 yang siap pada awal 2025, selain dua gelanggang sepak takraw termasuk di Kampung Jus Permai yang disiapkan pada 2024 dengan peruntukan mencecah RM30,000,” katanya.

Jelasnya, kemudahan pasar dan medan selera di Selandar juga diberikan perhatian menerusi kerja-kerja baik pulih bagi memastikan keselesaan peniaga serta pengunjung, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat itu dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post IBU BAPA HARGAI SOKONGAN TOK HAMEED TERHADAP ANAK ISTIMEWA
Next post MUZIUM KAPAL SELAM TAMPIL WAJAH BAHARU, SEDIA PIKAT PELANCONG