PRN MELAKA: 13 PENYANDANG KEKAL, BN YAKIN KHIDMAT MEREKA TERUS DITERIMA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 24 Oktober – Keyakinan terhadap khidmat yang diberikan kepada rakyat menjadi antara asas Barisan Nasional (BN) Melaka mengekalkan 13 penyandang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyandang yang dikekalkan dilihat masih mampu meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang penggal lalu, selain membawa agenda baharu untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pendekatan pentadbiran yang memberi tumpuan kepada rakyat serta khidmat yang telah diberikan di kawasan masing-masing.

“Kita melihat faktor keyakinan rakyat ini berdasarkan khidmat yang telah kita berikan kepada rakyat melalui pelbagai kaedah pentadbiran kerajaan yang bertumpu kepada rakyat.

“Kita lihat mereka ini (penyandang) masih boleh meneruskan agenda-agenda yang telah kita buat pada penggal lepas untuk kita teruskan dengan agenda baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai lapan penyandang kerusi yang tidak disenaraikan, beliau menjelaskan keputusan itu bukan bermaksud mereka digugurkan, sebaliknya memberi peluang kepada calon baharu untuk mengambil alih tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Jadi, mereka ini (penyandang kerusi) ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan, pada pandangan kita, kita memberikan ruang kepada muka-muka baharu untuk terus memberikan perkhidmatan di kawasan-kawasan yang telah kita kaji,” katanya.

BN Melaka mengumumkan 21 calon untuk bertanding pada PRN kali ini, dengan lapan calon muka baharu dan 13 penyandang dikekalkan.

PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 8 MUKA BAHARU BN DIGESA KERJA LEBIH KUAT DAN MANTAP
Next post PRN MELAKA: BN UMUM MANIFESTO SEMINGGU SELEPAS PENAMAAN CALON