PRN MELAKA: BN UMUM MANIFESTO SEMINGGU SELEPAS PENAMAAN CALON

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 24 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seminggu selepas hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik.

Beliau berkata, rakyat perlu menunggu pengumuman rasmi manifesto bagi menilai segala perancangan serta tawaran BN untuk pilihan raya kali ini.

“Kita akan ada manifesto seminggu selepas penamaan calon. Kita akan beritahu nanti supaya sama ada ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik juga akan dimasukkan dalam manifesto kita.

“Tunggu hari manifesto, barulah kita tanya tentang manifesto,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, manifesto kali ini bukan sekadar menampilkan tawaran yang kelihatan hebat, sebaliknya menekankan bagaimana Kerajaan Negeri diuruskan bagi memastikan pembangunan dan manfaatnya dapat dirasai rakyat.

“Dia lebih hebat daripada sebelumnya. Dia tak ada yang gempak. Yang gempak ini bagaimana kita menguruskan kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 13 PENYANDANG KEKAL, BN YAKIN KHIDMAT MEREKA TERUS DITERIMA RAKYAT
Next post PRN MELAKA: PENYATUAN BN-PAS DITUNGGU RAKYAT – AB RAUF