
PRN MELAKA: PENYATUAN BN-PAS DITUNGGU RAKYAT – AB RAUF
AYER KEROH 24 Oktober – Kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS bersama rakan strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat sebagai peluang menyatukan kedua-dua parti yang sekian lama dinantikan rakyat.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu mengambil kira pandangan yang diumumkan kepimpinan tertinggi BN yang kini dibincangkan di peringkat akar umbi.
“Jadi, kerjasama ini memberikan satu kaedah penyatuan ke arah yang lebih baik dalam mewujudkan perpaduan antara PAS dan UMNO yang sekian lama telah ditunggu oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.
Mengulas kemungkinan timbul masalah dengan PAS dan rakan strategik susulan BN bertanding di Sungai Udang, Ab Rauf berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi satu isu kerana ketika BN membuat hala tuju di Sungai Udang, parti itu tidak lagi mempunyai hala tuju untuk bersama Perikatan Nasional.
Beliau berkata, BN sudah memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan berkenaan serta memenuhi keperluan mereka sepanjang mengurus tadbir kerajaan.
“Saya tak fikir perkara ini menimbulkan masalah dan telah dipersetujui oleh semua pihak. Ia bukan satu perkara yang kontroversi, tetapi merupakan sesuatu yang sensasi,” katanya.
Ab Rauf berkata, rundingan pembahagian kerusi juga sedang menuju ke peringkat akhir dengan BN sah bertanding di 21 kerusi, manakala tujuh kerusi diberikan ruang kepada PAS dan rakan strategik.
“Saya tak nampak ada masalah. Tak perlu ada pertindihan. Kita mesti memberikan satu garis panduan yang munasabah supaya kedua-dua pihak dapat menerima rasionalnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


