PRN MELAKA: ‘NILAILAH SAYA BERDASARKAN PRESTASI, HASIL KERJA’ – MOHD NOOR HELMY

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Rekod prestasi dan hasil kerja menjadi taruhan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, berbanding pencabar bakal tampil dengan pelbagai tawaran kepada pengundi.

Mohd Noor Helmy berkata, persaingan kali ini perlu berlangsung secara sihat dan matang tanpa mengamalkan politik kebencian atau fitnah, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat menilai kemampuan setiap calon berdasarkan rekod serta usaha yang dilaksanakan.

“Pasti cabaran yang hebat menanti di mana kita penyandang akan dinilai berdasarkan kerja dan prestasi. Lawan saya akan datang dengan janji yang pelbagai untuk orang Duyong nanti.

“Jadi insya-Allah, saya yakin dan percaya ianya satu persaingan yang sihat, politik matang, kita biarkan rakyat yang menilai,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Katanya, beberapa usaha pembangunan yang dirancang untuk Duyong masih dalam proses pelaksanaan, berikutan terdapat permohonan yang perlu melalui prosedur tertentu dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

Justeru, beliau berharap diberi peluang oleh rakyat untuk meneruskan khidmat bagi memastikan usaha yang telah dimulakan dapat diselesaikan sekiranya mendapat mandat semula pada PRN kali ini.

“Insya-Allah, jika mandat dan kepercayaan diberikan, apa yang telah diusahakan tu dapat diselesaikan. Sebab sekarang, kita dah usaha, cuma ada yang belum selesai,” katanya.

Terdahulu, Mohd Noor Helmy diumumkan kekal sebagai calon BN bagi DUN Duyong pada PRN Melaka ke-16 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ZAHID PUJI KEJAYAAN AB RAUF PACU KEMAJUAN MELAKA
Next post PRN MELAKA: ZAHID JANJI PERLUAS TVET UNTUK ANAK MUDA MELAKA