PRN MELAKA: NORAZRIL TEKAD SATUKAN PENDUDUK REMBIA SEBAGAI SATU KELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Tekad menyatukan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia sebagai sebuah keluarga besar menjadi antara keutamaan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Ahmad Norazril Aziz, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ahmad Norazril, 45, juga anak jati Sungai Petai berkata, pengalaman dalam arena politik termasuk sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Alor Gajah akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memikul amanah parti dan membawa kemenangan BN di DUN berkenaan.

Beliau berkata, meskipun pertama kali dicalonkan bagi pilihan raya, tanggungjawab utama yang digalas adalah memastikan penduduk Rembia terus mendapat perhatian serta membina hubungan erat tanpa mengira latar belakang.

“Tentunya ada pelbagai perasaan memandangkan ini kali pertama, namun niat dan tanggungjawab utama saya adalah untuk membawa kemenangan kepada BN di N06 DUN Rembia.

“Fokus saya adalah selari dengan meneliti manifesto Kerajaan Negeri dan yang paling penting, hubungan kekeluargaan, kita mahu semua orang Rembia jadikan satu keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai calon pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Ahmad Norazril berkata, beliau turut meletakkan harapan agar Rembia menjadi antara kerusi yang menyumbang kepada kemenangan BN bagi membentuk Kerajaan Negeri yang stabil selepas hari pengundian.

Katanya, sokongan penduduk amat penting bagi memastikan usaha menyatukan masyarakat dan meneruskan pembangunan kawasan itu dapat direalisasikan.

PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

470
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ZAHID INGATKAN CALON BN JANGAN BERMEGAH, ELAK PERPECAHAN JENTERA PARTI
Next post PRN MELAKA: RIDHWAN TEKAD PERTAHAN AYER MOLEK SEBAGAI KUBU KUAT BN