PRN MELAKA: NADARAJAH TEKAD PERTAHAN GADEK, BANTU BN TAMBAH KERUSI DUN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S Nadarajah bertekad membantu gabungan itu memenangi lebih 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menerusi gerak kerja menyantuni rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, kepercayaan diberikan kepimpinan parti untuk bertanding di N07 Gadek menjadi amanah besar akan dipikul sebaik mungkin bagi memastikan BN mencapai sasaran kemenangan, malah berusaha melangkaui jumlah kerusi ditetapkan.

“Saya amat gembira dan berterima kasih kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Apabila mandat ini diberi kepada saya, semestinya mereka meletakkan satu kepercayaan yang amat tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas diumumkan sebagai calon pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas sasaran kemenangan BN, Nadarajah berkata, meskipun parti menetapkan sasaran 21 kerusi, setiap calon perlu bekerja lebih keras bagi memastikan gabungan bersama Pas dan rakan strategik nanti memperoleh keputusan lebih baik.

“Sasaran kita  21 (kerusi), tetapi setiap calon yang dipilih akan bertungkus-lumus untuk menjayakan lebih daripada 21 kerusi,” katanya.

Nadarajah berkata, walaupun PRN kali ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai calon, beliau sudah terbabit dalam gerak kerja pilihan raya sebelum ini menerusi pengalaman sebagai Ketua Pemuda Negeri dan Setiausaha Negeri MIC.

Katanya, pengalaman bekerja rapat dengan calon terdahulu selama empat hingga lima pilihan raya memberinya pemahaman mengenai prestasi jentera serta pendekatan yang perlu dilaksanakan bagi menghadapi persaingan.

“Saya sudah bekerja untuk hampir empat atau lima pilihan raya. Sebagai Ketua Pemuda Negeri dan Setiausaha Negeri sebelum ini, saya telah berkhidmat dengan sangat rapat bersama calon-calon terdahulu, jadi saya ukur prestasi dan apa yang kita perlu buat,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada usaha mendekati seluruh lapisan masyarakat di Gadek bagi mendapatkan sokongan dan memastikan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan secara menyeluruh.

“Saya akan bekerjasama dengan semua rakyat tidak kira bangsa dan agama untuk mendapatkan kejayaan dan boleh menggegarkan bumi Melaka ini,” katanya.

PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF TUNGGU LAPORAN SEBELUM BUAT KESIMPULAN ISU MCA
Next post MELAKA TIDAK LAGI SAMBUT MERDEKA DI TAPAK TINGGALAN PENJAJAH