PRN MELAKA: ALONG MAHU TERUS BEKERJA UNTUK RAKYAT, SEJAHTERAKAN ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menjadi pembakar semangat Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan untuk meneruskan khidmat bakti serta menyelesaikan lebih banyak agenda pembangunan di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Penyandang yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Alor Gajah itu berkata, pencalonan semula berkenaan merupakan amanah besar yang akan dipikul sebaik mungkin demi memastikan keperluan dan kebajikan penduduk Asahan terus diberi perhatian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan diberikan untuk mewakili parti di DUN berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada semua pengundi DUN Asahan bersama-sama membantu dan memberi peluang sekali lagi kepada saya.

“Banyak lagi perkara yang kita perlu buat di DUN Asahan dan saya akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas diumumkan sebagai calon pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas pencalonan muka baharu di kawasan Alor Gajah, Fairul Nizam berkata, pemilihan berkenaan merupakan keputusan parti selepas meneliti nama yang dikemukakan bagi memastikan calon mampu mengemudi jentera BN dengan baik.

“Itu adalah pilihan parti. Sebelum ini Ketua Menteri meminta tiga nama dicalonkan bagi satu DUN.

“Jadi kita senaraikan calon yang terbaik dan parti juga telah membuat keputusan terbaik untuk memastikan calon-calon boleh mengemudi jentera BN,” katanya.

Fairul Nizam yang mesra dengan panggilan YB Along berkata, fokus utama ketika ini adalah menggerakkan jentera parti secara menyeluruh bagi memastikan BN mampu mempertahankan kerusi Asahan dan empat lagi DUN di bawah Parlimen Alor Gajah pada PRN kali ini.

PRN Melaka ke-yang dijadual berlangsung pada 14 November ini dengan undi awal pada 10 November, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post MELAKA TIDAK LAGI SAMBUT MERDEKA DI TAPAK TINGGALAN PENJAJAH
Next post AB RAUF MAHU TERUS BONGKAR SEJARAH KEHEBATAN MELAKA