
PRN MELAKA: ZAHID PUJI KEJAYAAN AB RAUF PACU KEMAJUAN MELAKA
AYER KEROH 25 Oktober – Pencapaian ekonomi, pelaburan dan pelancongan Melaka sepanjang pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membuktikan kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada rakyat, kata Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, hasil kepimpinan Ab Rauf menyaksikan Melaka terus mencatat perkembangan membanggakan, sekali gus menjadi asas keyakinan BN untuk memohon mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
“Mandat besar yang diberikan oleh rakyat harus dibayar semula dengan khidmat yang terbaik. Kepercayaan yang diberikan rakyat, insya-Allah kita terjemahkan melalui banyak pencapaian besar oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional.
“Jadi, kita berikan penghargaan kepada Datuk Seri Rauf yang telah membuktikan semua ini di Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Melaka merekodkan lebih RM43 bilion pelaburan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, selain sektor pelancongan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila negeri itu menerima lebih 15.9 juta pelancong tahun lalu, dengan pendapatan pelancongan melebihi RM14.9 bilion.
Katanya, ekonomi Melaka juga terus berkembang dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencapai RM50.3 bilion pada tahun lalu.
Beliau berkata, pujian terhadap pencapaian itu bukan bertujuan membangga diri, sebaliknya mengiktiraf usaha kepimpinan BN dalam memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada rakyat.
“Hasil sentuhan kepimpinan Barisan Nasional, khususnya Datuk Rauf, insya-Allah Melaka akan terus memberi nikmat kemajuan kepada rakyat negeri Melaka,” katanya.
Zahid berkata, BN menyasarkan sekurang-kurangnya 21 kerusi pada PRN kali ini, selain berharap rakan strategik turut memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil dan kukuh.
“Insya-Allah, kalau mandat diberikan semula sekurang-kurangnya 21 kerusi dimenangi oleh BN, dan insya-Allah dimenangi oleh rakan-rakan strategik kita.
“Insya-Allah lebih stabil, lebih kukuh, lebih kuat negeri Melaka, maka anak-anak Melaka, rakyat Melaka akan lebih sejahtera di bawah kepimpinan Ab Rauf,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


