MAHASISWA PERLU BERANI BONGKAR KEHEBATAN SEJARAH MELAYU

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Mahasiswa perlu berani meneliti, membongkar dan mendokumentasikan kehebatan sejarah Melayu bagi memastikan warisan tamadun bangsa itu terus menjadi rujukan serta panduan generasi akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejarah sesebuah bangsa perlu dikaji secara mendalam dan dibukukan kerana kekuatan sesuatu bangsa tidak dapat dipisahkan daripada kehebatan sejarahnya, sama ada dari aspek ketenteraan, pentadbiran mahupun perdagangan.

Beliau berkata, keberanian mahasiswa dalam meneroka sejarah Melayu perlu bermula daripada kesedaran mereka sendiri memandangkan golongan itu merupakan pewaris yang bertanggungjawab meneruskan legasi serta keagungan bangsa.

“Jadi apa yang saya tegaskan pada mahasiswa, supaya keberanian untuk membongkarkan kehebatan sejarah Melayu ini mesti bermula daripada jiwa mahasiswa itu sendiri.

“Kerana masa depan negara ini daripada mereka. Saya bertanggungjawab untuk mewariskan apa yang saya kaji dan apa yang saya lihat kepada generasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Siswa Madani di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, generasi mahasiswa perlu memahami dan menghayati kehebatan tamadun Melayu yang telah terbina sejak berabad-abad lalu, sebelum menjadikan warisan itu sebagai sumber inspirasi dalam menghadapi cabaran masa depan.

Katanya, usaha membongkar semula sejarah Melayu juga penting bagi memastikan generasi akan datang mendapat gambaran lebih tepat mengenai kekuatan dan keagungan bangsa yang pernah membina tamadun tersendiri.

“Generasi inilah generasi pewaris yang akan diwariskan segala kekuatan dan keagungan bangsa Melayu yang sudah tersimpan sejak kurun ke-14, dibongkarkan semula untuk menjadi panduan mereka meniti kehidupan kurun ke-20 ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka sejak tiga tahun lalu turut melaksanakan pelbagai usaha membongkar warisan sejarah bagi memperluas pemahaman masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap kehebatan tamadun Melayu.

Menurutnya, usaha itu bukan sekadar bertujuan mengangkat sejarah bangsa, sebaliknya memberi kesedaran kepada generasi baharu bahawa masyarakat Melayu pernah membina tamadun yang memiliki kekuatan dan keunggulan tersendiri.

“Jadi saya melihat warisan-warisan yang sedang dibongkarkan oleh Kerajaan Negeri Melaka sejak tiga tahun dahulu, akan memberi makna yang jauh lebih luas dan mendalam kepada generasi supaya melihat bahawa bangsa kita ini adalah mencipta satu tamadun yang jauh lebih hebat daripada tamadun-tamadun yang sedang wujud di muka bumi sekarang ini,” katanya.

Ab Rauf berkata, usaha meluruskan kembali sejarah yang disifatkan telah diseleweng atau tidak dipaparkan secara menyeluruh perlu diteruskan supaya generasi akan datang dapat memahami kedudukan sebenar warisan bangsa.

“Sejarah kita telah dibengkokkan. Tujuan kami sekarang ialah meluruskan kebengkokan sejarah ini untuk generasi yang akan datang,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RIDHWAN TEKAD PERTAHAN AYER MOLEK SEBAGAI KUBU KUAT BN
Next post PRN MELAKA: TOK AJAK JANJI TERUSKAN KHIDMAT, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN DI TELOK MAS