
780 SYARIKAT BUKA LALUAN KERJAYA BUAT GRADUAN ICYM
DURIAN TUNGGAL 26 Oktober – Kerjasama dengan lebih 780 syarikat industri membuka peluang kepada graduan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) memperoleh pengalaman kerja sebenar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.
Ketua Pegawai Eksekutif ICYM, Aminalrashid Mohd Hussain berkata, menerusi program Work-Based Learning (WBL), pelajar berpeluang menjalani latihan di syarikat industri mengikut bidang pengajian masing-masing, sekali gus membuka ruang untuk diserap bekerja selepas tamat latihan.
“Selalunya, selepas dua semester bersama syarikat, jika mereka ini memang bagus, syarikat akan mengambil mereka terus bekerja,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-22 ICYM yang meraikan seramai 672 graduan di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pada Sabtu.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu membolehkan pelajar bukan sahaja memahami teori dalam bilik kuliah, malah menguasai kemahiran praktikal yang diperlukan industri.
PERKENAL KELAYAKAN BERGANDA
Dalam usaha memperkukuh persediaan graduan memasuki alam pekerjaan, ICYM turut merancang memperkenalkan kelayakan berganda akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun depan, bermula dengan Diploma Teknologi Elektrik.
Aminalrashid berkata, program berkenaan menyasarkan antara 30 hingga 50 pelajar pada peringkat awal bagi melengkapkan mereka dengan kelayakan akademik serta kemahiran teknikal yang diperlukan industri.
“Dengan adanya kelayakan ini, mereka boleh terus bekerja kerana sudah mempunyai pengalaman, bukan sahaja di industri tetapi juga di kolej,” katanya.

INISIATIF TAJAAN PENGAJIAN
Dalam pada itu, beliau berkata, ICYM turut memperkukuh sokongan kepada pelajar melalui inisiatif tajaan pengajian dengan kerjasama rakan industri.
Menurutnya, dua rakan industri utama iaitu Digi Supplies dan Innotex System Corporation telah tampil menaja pelajar program diploma ICYM, manakala pihak kolej kini aktif meneroka lebih banyak kerjasama bagi menyediakan peluang tajaan pengajian, khususnya kepada pelajar yang mengikuti program WBL.
INSENTIF KHAS YURAN PENGAJIAN
Selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada ibu bapa yang memilih ICYM sebagai destinasi pengajian anak-anak, beliau memaklumkan pihak pengurusan kolej menawarkan dua inisiatif khas yuran pengajian.
“Pertama, kadar yuran pengajian RM18,000 sahaja bagi enam program diploma untuk sesi kemasukan Januari 2027.
“Kedua, diskaun pengurangan yuran pengajian sehingga lima peratus khusus buat adik beradik graduan ICYM 2026, sekiranya mendaftar di ICYM bagi sesi kemasukan Julai 2027 nanti,” katanya.
TARIK PELAJAR ANTARABANGSA, PERKENAL 2 PROGRAM BAHARU
Selain memperkukuh laluan kerjaya graduan, ICYM turut menyasarkan sehingga 500 pelajar antarabangsa menjelang tahun depan bagi memperluas akses pendidikan dan menarik lebih ramai pelajar dari luar negara.
Menurutnya, kolej itu juga merancang memperkenalkan program baharu termasuk Diploma Perhubungan Perusahaan dan Diploma AI Digital, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

WAJAR JADI IPT PILIHAN
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, gabungan pembelajaran akademik dan pengalaman praktikal menjadi asas penting dalam menyediakan graduan yang lebih bersedia memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata, hubungan erat antara institusi pendidikan dan syarikat turut memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pendedahan dunia pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
“Kalau ada siapa-siapa yang ingin belajar dan nak pastikan peluang mendapatkan pekerjaan yang baik, datanglah ke kolej kami,” katanya.
Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada 1997, ICYM telah berjaya melahirkan seramai 18,830 graduan yang berada dalam pelbagai sektor industri sama ada dalam mahupun luar negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

