
INISIATIF DAYA TAHAN KOMUNITI MBMB RAIH PENGIKTIRAFAN KEBANGSAAN
AYER KEROH 27 Oktober – Inisiatif memperkukuh daya tahan komuniti terhadap ancaman perubahan iklim membuahkan hasil apabila Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meraih Naib Johan Malaysia Scroll of Honour Award 2026.
Anugerah itu diraih menerusi pelaksanaan program Resilience for Communities (R4C) Melaka bagi kategori ‘Best Local Government-Led Initiatives’ pada 23 Oktober lalu sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 dan penganjuran Malaysia Scroll of Honour Award di Putrajaya.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pengiktirafan itu menterjemahkan komitmen MBMB dalam menangani risiko perubahan iklim, khususnya ancaman haba melampau dan banjir menerusi kerjasama strategik serta penglibatan aktif komuniti setempat.
“Kejayaan ini lebih bermakna apabila MBMB bersaing dengan 66 penyertaan seluruh negara, sekali gus mengiktiraf pendekatan strategik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membina komuniti yang bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.
“Inisiatif R4C Melaka turut mencerminkan komitmen MBMB bersama rakan strategik dan masyarakat setempat bagi merealisasikan pembangunan bandar raya yang mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Setiausaha Bandaraya Muhammad Firdaus Shariff; Pengarah Perancangan Bandar TPr. Zuhaila Ahmad Zubel serta pegawai kanan MBMB.
Terdahulu anugerah tersebut disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bersama Timbalannya Datuk Aiman Athirah Sabu, selain disertakan hadiah wang tunai RM6,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

