
PLKN 3.0 DICADANG DIPERLUAS KE INSTITUSI TVET AWAM, SASAR 100,000 PESERTA
DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Peluasan Fasa 3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menerusi Modul Kenegaraan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) awam dicadangkan mulai 2027/2028, dengan unjuran penyertaan antara 70,000 hingga 100,000 peserta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan pelaksanaan secara berfasa itu dijangka membabitkan 673 institusi, tertakluk kepada pertimbangan dan kesiapsiagaan pelaksanaan.
“Inisiatif ini bertujuan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah mempunyai jati diri, disiplin dan semangat patriotisme yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara Bil. 3/2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memaklumkan persediaan penganjuran Hari TVET Negara 2027 turut diberi perhatian dengan Dataran Putrajaya dicadangkan sebagai lokasi sambutan pada 4 hingga 6 Jun 2027.
Beliau berkata, sambutan itu akan menjadi platform untuk memperluas kesedaran masyarakat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET, selain memperkukuh kerjasama antara institusi latihan dengan industri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

