
INISIATIF JELITA PEMANGKIN EKONOMI 10,000 WANITA MALAYSIA
DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Program ‘Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement’ (JELITA) terbukti berjaya memperkasakan ekonomi kaum hawa di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara keseluruhan 10,000 dilatih menerusi inisiatif JELITA dan daripada jumlah itu 5,000 orang kini sudah bekerjaya, manakala bakinya pula menggunakan kemahiran dikuasai dengan menghasilkan produk sendiri bagi menjana pendapatan.
Katanya, pencapaian itu juga membuktikan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi pemangkin perubahan ekonomi wanita, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Peserta JELITA berjaya memperoleh pekerjaan dan pendapatan untuk menambah pendapatan isi rumah keluarga. Ini merupakan satu ‘game changer’ untuk para wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup JELITA Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat TVET JELITA Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; serta Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kejayaan itu hasil perkongsian pintar antara UTeM, Kolej Risda dan kumpulan sasaran dalam kalangan wanita, dan usaha berkenaan akan diteruskan bagi memperluas manfaat program.
Menurutnya, JELITA bukan sekadar menyediakan peluang kepada wanita mengikuti latihan kemahiran, malah menjadi landasan untuk mereka menguasai kepakaran, memimpin industri, mencipta teknologi dan membangunkan perusahaan sendiri.
“Pada hemat saya, sudah tiba masanya kita bergerak daripada penyertaan kepada pemilikan (From Participation to Ownership).
“Kita mahu bakat wanita berkembang menjadi kepakaran yang membolehkan mereka memimpin industri, mencipta teknologi dan membangunkan perusahaan sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

