FAIRUL NIZAM MAHU TUNTASKAN ISU PENDUDUK ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

ASAHAN 30 Oktober – Menyelesaikan isu paip lama dari Pekan Nyalas hingga Sungai Dua serta urusan pemilikan rumah generasi kedua peneroka Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan, sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Berbekalkan pengalaman berkhidmat selama empat tahun 10 bulan, Fairul Nizam berkata, beliau mahu meneruskan usaha menyelesaikan keperluan penduduk, termasuk beberapa perkara yang masih dalam proses pelaksanaan.

“Sudah semestinya kita akan sambungkan mana yang belum selesai, contohnya pembinaan balai bomba.

“Kemudian, kita nak selesaikan masalah paip lama di Pekan Nyalas sampai ke Sungai Dua. Kita akan selesaikan juga urusan rumah generasi kedua FELCRA yang sekarang ini masih dalam proses. Saya akan pikul tanggungjawab ini sampai selesai,”katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Villa D’Acqua, Tanjung Bidara, di sini.

Fairul Nizam yang mesra dikenali sebagai Along berkata, selain menyelesaikan isu infrastruktur dan perumahan, peningkatan tahap pendidikan anak-anak di DUN Asahan turut menjadi keutamaannya sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi.

“Yang paling penting bagi saya adalah peningkatan tahap pendidikan untuk anak-anak dalam DUN Asahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur atas kepercayaan parti mencalonkannya semula dan berharap sokongan pengundi pada hari pengundian 14 November ini membolehkannya meneruskan khidmat kepada masyarakat.

Beliau turut menyeru penduduk berbilang kaum di Asahan supaya terus memelihara hubungan baik dan semangat perpaduan meskipun mempunyai perbezaan pilihan politik.

“Orang Asahan, keluarga saya semua di DUN Asahan, Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli, jaga kesihatan, jaga hubungan, jaga semangat perpaduan.

“Biar kita berbeza parti, tetapi kita tetap sama warga Malaysia,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, Fairul Nizam memenangi kerusi DUN Asahan dengan memperoleh 5,659 undi dan majoriti 2,993 undi. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka pada April 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MANIFESTO PN-BN DISELARAS, UMUM KETIKA KEMPEN – AHMAD SAMSURI
Next post PRN MELAKA: PN MAHU JADIKAN MELAKA LANDASAN PENYATUAN UMMAH