
PRN MELAKA: PN MAHU JADIKAN MELAKA LANDASAN PENYATUAN UMMAH
BUKIT KATIL 30 Oktober – Perikatan Nasional (PN) mahu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sebagai landasan memperkukuh penyatuan ummah serta permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang latar belakang di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PRN kali ini bukan sekadar medan persaingan politik, malah menjadi langkah awal membina momentum perjuangan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, PN mahu membuktikan kesungguhan dalam menawarkan khidmat kepada rakyat, selain memperluas sokongan masyarakat terhadap gabungan berkenaan.
“Kita hendak menunjukkan bahawa kita boleh menjadikan Melaka ini sebagai sebuah asas penyatuan ummah dan juga permuafakatan dengan seluruh rakyat yang ada dalam negeri Melaka ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, malam tadi.
Ahmad Samsuri turut menyeru semua calon dan jentera parti supaya bekerja keras sepanjang tempoh berkempen serta tidak memandang mudah persaingan yang bakal dihadapi.
Beliau berkata, pengalaman PN menyertai pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini perlu dijadikan sebahagian daripada usaha membina kekuatan gabungan itu untuk mencapai matlamat pada PRU16.
“Tanpa langkah awal yang kita buat di dua pilihan raya Johor dan di Negeri Sembilan lalu, kita tidak akan sampai kepada objektif sebenar akhir yang kita nak capai dalam Pilihan Raya Umum Ke-16,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan calon dan jentera parti supaya merendah diri, berkempen secara tertib serta mengemukakan hujah berasaskan fakta dengan tetap menjaga adab ketika berhadapan pihak lawan.
“Menyatukan langkah kita, psikologilah dengan rendah-rendah diri, berkempenlah dengan tertib, berhujahlah dengan fakta, peliharalah adab dan permatilah lawan kita, tunjukkan bahawa kita berilmu besar dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha meraih sokongan rakyat perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian bagi mencapai matlamat yang ditetapkan gabungan itu.
Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


