PRN MELAKA: CALON TERMUDA BERUSIA 24 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Berusia 24 tahun, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah muncul sebagai calon termuda yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16.

Beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, sekali gus menjadi antara dua calon berusia bawah 30 tahun yang menyertai pilihan raya negeri kali ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seorang lagi calon dalam lingkungan usia 25 tahun, menjadikan jumlah calon bagi kategori umur 18 hingga 29 tahun seramai dua orang daripada keseluruhan 79 calon yang disahkan bertanding.

Statistik SPR turut menunjukkan majoriti calon yang bertanding berusia antara 40 hingga 49 tahun iaitu seramai 33 orang, diikuti 22 calon berusia 50 hingga 59 tahun, 14 calon berusia 30 hingga 39 tahun dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas.

Secara keseluruhan, PRU DUN Melaka Ke-16 menyaksikan 79 calon daripada pelbagai parti bertanding di 28 kerusi DUN, dengan PH mencalonkan 24 orang, Barisan Nasional (BN) 23, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) 16, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tujuh, Perikatan Nasional (PN) lima, selain seorang calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan tiga calon Bebas.

Daripada jumlah itu, seramai 65 calon adalah lelaki manakala 14 lagi wanita.

Pertandingan kali ini menyaksikan 11 kerusi menghadapi saingan dua penjuru, 11 kerusi tiga penjuru dan enam kerusi empat penjuru.

Tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 13 November ini, sebelum hari pengundian pada 14 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: DR. AKMAL SALEH CALON NOMBOR 1 DUN MERLIMAU
Next post MELAKA PERLUAS PELANCONGAN DESA, BUKA PELUANG PENDAPATAN PENDUDUK