PRN MELAKA: BN TOLAK ‘GUTTER POLITIC’ DI SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 31 Oktober – Barisan Nasional (BN) menolak amalan politik hasutan, fitnah dan kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sebaliknya mahu pertandingan berlangsung secara matang tanpa serangan peribadi.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, pendirian itu selari dengan ketegasan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang berulang kali mengingatkan jentera parti supaya tidak mengamalkan budaya politik tidak sihat atau ‘gutter politic’.

Menurutnya, beliau menyedari terdapat pelbagai serangan di media sosial yang ditujukan kepadanya, namun menganggap perkara itu sebagai lumrah ketika berlangsungnya pilihan raya.

“Alhamdulillah, saya tidak berdendam dengan mana-mana pihak. Bagi saya, kita tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

“Kalau itu caranya kita hendak berpolitik, saya serahkan kepada Allah SWT dan kepada pengundi di DUN Sungai Udang itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas selesai penamaan calon di Bilik Gerakan Utama BN Sungai Udang di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rais diumum sebagai calon nombor tiga DUN Sungai Udang selepas selesai proses penamaan calon dan pengundian yang dilakukan di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), di sini.

Beliau berkata, perjuangannya di Sungai Udang bukan bermula hanya ketika tempoh kempen pilihan raya, sebaliknya hubungan dan khidmat kepada masyarakat di kawasan itu telah terjalin sejak sekian lama.

Katanya, PRN kali ini hanyalah satu lagi perjalanan dalam usaha meneruskan khidmat kepada penduduk, selain menyerahkan keputusan kepada pengundi untuk menentukan wakil yang akan membawa suara mereka pada masa hadapan.

“Saya doakan kepada semua calon, diberi kesihatan, diberi kesejahteraan, dan rakyat Sungai Udanglah yang akan memilih siapa yang ingin mereka bawa suara mereka pada masa akan datang.

“Dan izinkanlah saya untuk meneruskan khidmat dan bakti saya di DUN Sungai Udang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS PELANCONGAN DESA, BUKA PELUANG PENDAPATAN PENDUDUK
Next post PRN MELAKA: PENGALAMAN POLITIK ASET RIDHWAN PIMPIN AYER MOLEK – JOHARI