
TOK RAUF JADI KETUA MENTERI BOLEH, JADI PENGACARA MAJLIS PUN BOLEH
KLEBANG 1 November – Bukan sahaja menerajui pentadbiran negeri, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga boleh menyarung peranan sebagai pengacara majlis, malah menjadi penghantar makanan (rider Grab) sekiranya diperlukan.
Keupayaan menyantuni pelbagai peranan itu dizahirkan beliau ketika kunjungan ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Bukit Rambai di Taman Rambai Ria, di sini, hari ini.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka itu secara berseloroh berkata, seseorang yang mahu menjadi wakil rakyat perlu terlebih dahulu memahami kehidupan rakyat dan tidak hanya mengharapkan masyarakat berkhidmat untuk dirinya.
“Rakyat tak perlu berkhidmat untuk saya, tak perlu. Saya boleh buat berkhidmat untuk rakyat. Inilah perkhidmatan yang saya buat ini.
“Saya boleh jadi pengacara, saya boleh jadi rider Grab dan macam-macam lagi. Nak jadi wakil rakyat kena jadi rakyat dulu. Baru kita tahu, ingat senang ke kerja ini,” katanya kepada jentera BN DUN Klebang.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; calon BN DUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Dalam nada berseloroh, Ab Rauf turut menyampaikan serangkap pantun bagi menggambarkan cabaran menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri yang menuntut pengorbanan masa dan komitmen tinggi.
“Tinggi-tinggi si matahari, anak kerbau mati tertambat. Bukan senang jadi Ketua Menteri, hari-hari tidur lambat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


