
PANTAI KUNDOR MENITI GELOMBANG EKONOMI BAHARU, NASIB NELAYAN TERUS DIBELA
PANTAI KUNDOR 1 November – Kawasan Pantai Kundor berpotensi menjadi hab ekonomi biru baharu Melaka menerusi pembangunan merangkumi aktiviti pelabuhan, pelancongan dan pelbagai sektor ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan kawasan pesisir di Pantai Kundor bermula dari Sungai Udang hingga Kota Laksamana bakal membuka peluang ekonomi baharu.
“Antaranya akan ada pelabuhan, kawasan pelancongan menarik dan macam-macam lagi. Alangkah cantiknya Pantai Kundor dengan pelbagai pembangunan yang memberi manfaat ekonomi kepada penduduk sekitar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata demikian ketika berucap pada kunjungan ke Bilik Gerakan BN Pantai Kundor di Taman Tangga Batu Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.
Di sebalik pembangunan itu, Ab Rauf berjata kepentingan serta kebajikan komuniti nelayan juga akan terus diberikan perhatian.
Menurutnya, antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah memperluas peluang ekonomi nelayan menerusi aktiviti akuakultur supaya mereka tidak hanya bergantung kepada hasil tangkapan laut.
“Kita akan bagi nelayan meniaga dalam projek akuakultur. Maksudnya kita akan buka peluang kepada aktiviti penternakan seperti kepah, kupang, ikan, ketam dan lain-lain.
“Malah aktiviti perikanan laut dalam juga boleh diteroka dan memacu perniagaan akuakultur ini di pesisir pantai. Itu semua sedang saya fikirkan, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


