UNIMEL LAKSANA TIGA INISIATIF STRATEGIK TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LINGGI 4 November – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) menggunakan kepakaran yang dimiliki bagi melaksanakan Program Persekitaran Sekolah Selamat Melaka (PPSSM) 2026.

Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly berkata, PPSSM 2026 adalah satu daripada tiga inisiatif strategik dilaksanakan pihaknya dalam membantu menjayakan agenda pembangunan masyarakat, khususnya membabitkan aspek pendidikan anak-anak Melaka.

Katanya, inisiatif strategik itu turut melibatkan pelaksanaan program HUGE (Hospitality, Upskilling Guide, Excellence) 2026 dan RIASAH (Rancakkan Ilmu, Akhlak, Sahsiah).

“Menerusi PPSSM 2026, pelajar turut diberi pendedahan mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat melalui penglibatan tujuh agensi.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan positif kepada pihak sekolah dan universiti kerana kita dapat menjalinkan kerjasama dengan jabatan pendidikan negeri dan sekolah dalam tempoh jangka panjang.

“Pelajar sekolah antara kumpulan yang berpotensi untuk bergelar penuntut atau mahasiswa UNIMEL pada masa hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Program Persekitaran Sekolah Selamat Melaka (PPSSM) 2026: Inisiatif Strategik Kerajaan Negeri Melaka disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah, Abd Malek Kasim dan hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UNIMEL Prof. Madya Dr. Mazni Muhammad, di Kampus UNIMEL, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, UNIMEL menyambut baik kepercayaan Kerajaan Negeri yang memberikan mandat kepada universiti untuk melaksanakan program berkenaan.

“Dengan peluang yang diberikan ini ia membolehkan kepakaran dimiliki universiti disalurkan secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam usaha membangunkan potensi serta sahsiah generasi muda.

“Kami amat menyambut baik inisiatif yang diberikan Kerajaan Negeri kerana dalam masa sama, kita mempunyai kepakaran daripada segi tenaga kerja dan pensyarah sekali gus kami dapat berkhidmat untuk masyarakat serta anak bangsa,” katanya.

Jelas beliau, ketiga-tiga program yang dilaksanakan mencatatkan penyertaan keseluruhan kira-kira 2,000 peserta dengan kira-kira 800 daripadanya membabitkan pelajar sekolah yang menyertai PPSSM 2026.

“Untuk PPSSM 2026 penyertaan direkodkan adalah seramai 1,300 orang dan daripada jumlah itu 800 adalah pelajar dari 65 buah sekolah seluruh Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post MANGSA POKOK TUMBANG DAPAT PERHATIAN ACIK ZUL
Next post PRN MELAKA: CUACA PANAS TIDAK HALANG YB ALONG SANTUNI PENGUNDI ASAHAN