PRN MELAKA: ‘BIRUKAN PANTAI KUNDOR’, PAS ZAHIR SOKONGAN BUAT TUMINAH

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PANTAI KUNDOR 4 November – Kesepakatan antara jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS di peringkat akar umbi terus diperkukuh menerusi gerak kerja kempen bersama bagi menyantuni penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS DUN Pantai Kundor, Ramlan Amad berkata, pihaknya menghargai kesudian calon BN N12 bagi kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim turun padang bersama jentera PAS menerusi program ziarah kasih.

Menurutnya, kunjungan Tuminah ke Markas PAS DUN Pantai Kundor turut memperlihatkan keakraban dan semangat muafakat yang mahu dibina antara kedua-dua parti dalam menghadapi PRN Melaka kali ini.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Tuminah kerana sudi datang menziarah kampung saya. Inilah muafakat yang kita kehendaki antara Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Balik Bukit 1, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramlan turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan Tuminah dengan menyeru pengundi supaya memberikan undi kepada calon nombor dua BN berkenaan.

Sokongan itu turut dizahirkan menerusi laungan kempen ‘Birukan Pantai Kundor’ yang disambut sebagai seruan untuk memastikan kemenangan calon BN di kawasan berkenaan.

Terdahulu, pada program berkenaan, gabungan jentera kedua-dua parti turut menyantuni dua keluarga yang berdepan cabaran kesihatan dan memerlukan perhatian di kawasan berkenaan.

Kunjungan pertama melibatkan seorang penduduk dikenali sebagai Pak Lah yang menghidap diabetes sehingga kehilangan kedua-dua belah kaki akibat komplikasi penyakit itu.

Rombongan kemudian menziarahi Sabariah, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kecil yang tetap ceria menerima kunjungan jentera berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1237
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT BUKAN RETORIK DI PANTAI KUNDOR