PRN MELAKA: CUACA PANAS TIDAK HALANG YB ALONG SANTUNI PENGUNDI ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ASAHAN 4 November – Bahang akibat cuaca panas terutama pada waktu pagi dan tengah hari antara cabaran yang perlu dihadapi calon serta jentera parti sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon nombor 1 mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, susulan itu jentera diingatkan supaya mengambil air dalam jumlah mencukupi bagi menjaga kesihatan masing-masing sepanjang menjalankan gerak kerja kempen.

“Cabaran kami adalah cuaca kerana keadaan pada waktu pagi dan tengah hari agak berbahang.

“Saya nasihatkan jentera yang berkempen supaya mengutamakan kesihatan dan minum air secukupnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid An-Nur, FELDA Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Mengulas pendekatan kempen, Fairul Nizam berkata, beliau memilih untuk terus turun padang bagi bertemu seramai mungkin pengundi, selain mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat.

Katanya, setiap isu dan permintaan yang dibangkitkan penduduk akan direkodkan untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut sekiranya beliau sekali lagi diberi mandat mewakili kawasan berkenaan.

Beliau turut menggalakkan pengundi yang berada di luar kawasan supaya mengikuti perkembangan kempen menerusi platform media sosialnya bagi mengetahui aktiviti serta usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, baki tempoh kempen akan dimanfaatkan sebaiknya untuk terus mendekati pengundi sebelum hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

282
Kongsi :
Previous post UNIMEL LAKSANA TIGA INISIATIF STRATEGIK TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN ANAK MELAKA
Next post PRN MELAKA: GAGASAN MELAKA SAYANG RAKYAT BUKAN RETORIK DI PANTAI KUNDOR