
DEEPAVALI: DISKAUN TOL 50 PERATUS RINGANKAN PERJALANAN BALIK KAMPUNG
PENGKALAN BATU 5 November – Pengguna lebuh raya yang merancang pulang ke kampung atau menziarahi keluarga sempena Deepavali bakal menikmati penjimatan apabila kerajaan memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus pada esok dan Sabtu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun selama dua hari pada 6 dan 7 November itu memberi kelegaan kepada pengguna lebuh raya yang melakukan perjalanan sempena perayaan berkenaan.
“50 peratus diskaun… Jumaat dan Sabtu. Jadi, nak balik kampung ada diskaun diberikan. Balik kampung, hati-hati di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid.
Terdahulu, menerusi satu kenyataan, Alexander memperincikan pelaksanaan diskaun itu bermula tengah malam, 6 November hingga jam 11.59 malam, 7 November.
“Diskaun berkenaan meliputi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol seluruh negara serta kenderaan Kelas 2 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, kemudahan itu tidak terpakai di dua plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura,” katanya.
Alexander memaklumkan kerajaan menanggung pampasan dianggarkan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi pelaksanaan diskaun tersebut, tertakluk kepada pengesahan angka trafik.
“Inisiatif berkenaan bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan perjalanan mereka yang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi saudara-mara sempena Deepavali.
“Bagi melancarkan perjalanan, pengguna turut diingatkan supaya menyemak baki kad Touch ’n Go atau eWallet, mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat antara kenderaan,” katanya.
Orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan trafik serta maklumat insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi pihak berkuasa bagi membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih teratur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


