PRN MELAKA: KACAU WAJIK ERAT MUAFAKAT, JENTERA BN-PAS SANTUNI PENDUDUK LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 5 November – Program Kacau Wajik anjuran Wanita Komuniti Kampung Lendu bersama rakan komponen PAS di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lendu menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat setempat, selain menyemarakkan semangat kerjasama antara jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, program itu turut memberinya peluang untuk mendekati penduduk dan beramah mesra dalam suasana santai.

Menurutnya, kesempatan bertemu penduduk dimanfaatkan untuk mendengar sendiri pelbagai keluhan serta permasalahan yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.

“Isu atau masalah rakyat dalam kawasan ini yang paling ditekankan adalah tentang kebajikan. Saya difahamkan ada yang mengadu tentang permohonan bantuan kebajikan yang masih belum selesai, serta ada yang baharu hendak membuat permohonan.

“Itu antara perkara yang kita teliti, selain aduan mengenai pembangunan semasa yang melibatkan infrastruktur seperti jalan raya dan longkang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas perjalanan kempen yang memasuki hari kelima, Abdul Hakim menzahirkan rasa syukur apabila gerak kerja parti setakat ini berlangsung lancar tanpa sebarang insiden provokasi.

Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan kematangan semua pihak dalam mengharungi proses demokrasi, selain memberi ruang kepada calon dan parti bertanding untuk mengetengahkan tawaran serta khidmat kepada rakyat.

“Semuanya berjalan dengan baik dan menunjukkan kematangan dalam proses demokrasi kita. Pilihan raya ini sangat dinanti-nantikan oleh pengundi kerana apa yang lebih penting adalah tawaran khidmat bakti dan pengorbanan sebagai seorang pemimpin kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: CARA BERBEZA, SOKONGAN SAMA BUAT HELMY
Next post HOSPITAL MELAKA BAKAL DIPERKUKUH SEBAGAI PUSAT RUJUKAN JANTUNG