
HOSPITAL MELAKA BAKAL DIPERKUKUH SEBAGAI PUSAT RUJUKAN JANTUNG
PENGKALAN BATU 5 November – Peranan Hospital Melaka sebagai pusat rujukan perkhidmatan jantung bakal diperkukuh menerusi penyediaan kemudahan Invasive Cardiac Laboratory (ICL), dengan manfaat turut meliputi pesakit dari selatan Selangor dan utara Johor.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemudahan itu akan meningkatkan keupayaan hospital berkenaan mengendalikan kes berkaitan jantung yang sebelum ini kebanyakannya dirujuk ke pusat jantung di Serdang.
Menurut beliau, pengukuhan perkhidmatan kepakaran di Hospital Melaka turut melibatkan pembekalan peralatan biplane angiografi bagi meningkatkan keupayaan rawatan melibatkan penyakit salur darah dan otak.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan SST dan Surat Pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka di Auditorium Sri Baiduri, Hospital Melaka, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid.
Dr. Dzulkefly berkata, SST bagi pembekalan biplane angiografi dijadualkan dikeluarkan pada 6 November, dengan perkhidmatan menggunakan peralatan berkenaan dijangka dapat dimulakan dalam tempoh kira-kira lima bulan.
Bagi kemudahan ICL pula, beliau berkata, kementerian menyasarkan SST dikeluarkan sebelum penghujung tahun ini, dengan pelaksanaannya memerlukan kerja struktur tambahan.
Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan akan membolehkan Hospital Melaka memainkan peranan lebih besar dalam memberikan rawatan kepakaran, termasuk menerima rujukan dari kawasan negeri berdekatan.
Dalam memastikan perkhidmatan dapat diberikan apabila kemudahan bersedia digunakan, beliau berkata, penyediaan tenaga pakar turut diberikan perhatian seiring perolehan peralatan.
Menurut beliau, permohonan berkaitan tenaga pakar telah dibuat bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan jantung di hospital berkenaan.
Dr. Dzulkefly menegaskan, melengkapkan hospital dengan peralatan dan makmal ICL perlu disertai kehadiran pakar kardiologi serta pakar berkaitan untuk memberikan rawatan kepada pesakit.
“Ini adalah residen (doktor), bukan sahaja ‘visiting’,” katanya ketika menjelaskan keperluan pakar tetap berbanding khidmat secara lawatan semata-mata.
Beliau berkata, kementerian menyasarkan pakar kardiologi tersedia apabila perkhidmatan berkenaan bersedia dimulakan.
Untuk rekod, Kementerian Kesihatan pada Jun 2026 telah mengiklankan tender membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah dua unit peralatan ICL untuk kegunaan Hospital Melaka serta Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi tempoh kontrak dua tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


