MAIM BANTU TAMBAH BEKALAN DARAH NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

PENGKALAN BATU 5 November – Satu beg darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa, sekali gus menjadikan sumbangan penderma sebagai satu bentuk pengorbanan besar dalam membantu pesakit yang memerlukan.

Kesedaran itu dizahirkan menerusi Program Derma Darah anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, yang menghimpunkan kakitangan agensi agama Islam bagi menyumbang kepada tabung darah negara.

MAIM menerusi satu kenyataan memaklumkan program itu dilaksanakan sempena Program Bulan Kesejahteraan Kesihatan Peringkat MAIM, bersempena sambutan Hari Kesihatan Dunia dan Hari Integriti Nasional 2026.

Menurut kenyataan itu, penyertaan kakitangan dalam program berkenaan mencerminkan keprihatinan dan komitmen mereka dalam membantu memenuhi keperluan bekalan darah negara bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

“Derma darah bukan sahaja dapat memberikan manfaat besar kepada pesakit yang memerlukan, malah turut memberi manfaat kepada kesihatan penderma sendiri.

“Satu beg darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Besar sungguh pengorbanan dan sumbangan setiap penderma darah,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, majlis yang berlangsung di lobi Pusat Islam Melaka, Bukit Palah itu turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

MAIM berharap usaha seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah serta menyemai budaya saling membantu dalam kalangan komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET MELAKA CECAH 98.8 PERATUS – AB RAUF
Next post MOMENTUM GELOMBANG BIRU BANTU BN RAMPAS SEMULA PARLIMEN ALOR GAJAH