NADARAJAH BUKAN ORANG BAHARU DALAM KHIDMAT MASYARAKAT DUN GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

GADEK 5 November – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yakin calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S Nadarajah, mampu memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Saravanan berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalaman lebih 20 tahun Nadarajah dalam aktiviti khidmat masyarakat dan keperibadian calon berkenaan yang disifatkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat serta mudah didekati.

Menurut beliau, Nadarajah bukanlah individu baharu dalam arena khidmat masyarakat di DUN Gadek meskipun pertama kali diberi peluang bertanding sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

“Saya beri jaminan, anggaplah seperti saya sendiri yang menjadi calon kerana saya mengenalinya hampir 20 tahun. Dia memang seorang yang berjiwa rakyat dan komited menangani isu yang dibangkitkan masyarakat. Kelebihan utama Nadarajah adalah beliau bukan seorang yang ego.

“Kerana apabila menjadi calon atau wakil rakyat, kita perlu meletakkan rakyat sebagai ketua dan menganggap mereka sebagai bos kita,” katanya pada sidang media ketika mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh melakukan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah; Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan calon BN DUN Gadek S Nadarajah.

Saravanan berkata, Nadarajah juga sudah lama memainkan peranan sebagai pemimpin parti selain membantu masyarakat setempat walaupun pada ketika itu tidak memegang sebarang jawatan termasuk sebagai wakil rakyat.

“Kalau sebelum ini Nadarajah boleh membantu masyarakat tanpa sebarang jawatan, cuba bayangkan sekiranya dia menjadi wakil rakyat, sudah tentu khidmat yang dapat diberikan lebih memberikan impak.

“Pengalaman serta hubungan yang telah dia bina bersama penduduk itu menjadi kelebihan untuk meneruskan khidmat apabila diberikan mandat nanti.

“Kita juga tidak mempunyai masalah untuk masuk ke kampung-kampung kerana penduduk mengenali kita selain tidak memandang serong terhadap kehadiran kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

278
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BALAI BOMBA, PAIP LAMA ANTARA AGENDA ‘ALONG’ UNTUK ASAHAN
Next post KELUHAN RAKYAT BUKAN BEBAN, SEBALIKNYA AMANAH – NADARAJAH