‘SATU BUMBUNG, SATU KELUARGA’ PEGANGAN PPPPK BANTU PENIAGA SAMUDERA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDAR HILIR 7 November – Berpegang kepada prinsip ‘satu bumbung, satu keluarga’, Persatuan Penjaja Peniaga Pengusaha Kecil Melayu (PPPPK) Cawangan Melaka Bandar mengambil inisiatif berkongsi hasil penganjuran Uptown Samudera bagi membantu menjaga kebajikan peniaga di Medan Selera Samudera, Banda Hilir.

Pengerusinya, Mohd Rujahan Sidek berkata, inisiatif itu mencerminkan semangat kebersamaan dan perkongsian rezeki dalam kalangan komuniti peniaga, selain usaha mengeratkan hubungan sesama mereka.

Menurutnya, sumbangan berkenaan merupakan fasa pertama inisiatif persatuan yang dirancang sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang dana daripada parti politik.

“Ini hasil usaha persatuan sendiri. Kita rancang perkara ini sebelum DUN dibubar kerana memang hasrat kita mahu bantu peniaga Medan Samudera.

“Kita kongsi rezeki, satu bumbung satu keluarga. Silaturahim tetap kita jaga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Penyampaian Insentif One-Off Sewaan Premis di Surau Medan Selera Samudera, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, dana berkenaan dikumpulkan secara berperingkat sejak tiga tahun lalu menerusi kutipan sewaan daripada peniaga luar yang menjalankan perniagaan di Uptown Samudera setiap Sabtu dan Ahad.

Katanya, persatuan turut mengambil kira kepentingan peniaga sedia ada di Medan Selera Samudera dengan memastikan mereka tidak dibebankan dengan bayaran sewaan tapak ketika menyertai aktiviti perniagaan di Uptown berkenaan.

Menurutnya, perkongsian hasil itu diharap dapat menjadi usaha berterusan dalam membantu komuniti peniaga, tertakluk kepada kemampuan kewangan persatuan.

“Kita berharap semangat kebersamaan dan silaturahim yang menjadi pegangan persatuan dapat terus dipelihara demi kebajikan serta kepentingan seluruh komuniti peniaga di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENGALAMAN DEKATI MASYARAKAT JADI KEKUATAN ABDUL HAKIM