
PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN TINGKAT KEYAKINAN RAIH KEMENANGAN BESAR – ISMAIL SABRI
ASAHAN 7 November – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 meningkatkan keyakinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap kemampuan gabungan itu meraih kemenangan besar.
Beliau berkata, pemerhatian awal terhadap suasana kempen di Melaka sejak tiba di negeri ini memberikan gambaran positif mengenai sokongan yang diterima BN, khususnya menerusi kerjasama dengan PAS dan parti lain dalam PN.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, kerjasama berkenaan juga diyakini dapat mengukuhkan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan yang bertanding pada pilihan raya kali ini.
“Ini hari pertama saya sampai, dan melihatkan kepada ‘mood’ berkempen, saya nampak peluang kita besar, lebih-lebih lagi apabila kita ada kerjasama dengan PAS.
“Saya pasti ‘solid’ kepada Barisan Nasional dan juga PAS dan lain-lain dalam PN. Dari sudut ini, saya yakin dengan adanya kerjasama ini kita boleh menang, bukan sahaja menang tetapi menang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai program kempen calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan, di Kampung Baru Bukit Sedanan, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengalaman kerjasama politik di Johor dan Negeri Sembilan turut menjadi asas kepada keyakinannya terhadap potensi gabungan berkenaan.
“Bukti dah ada di Negeri Sembilan, di Johor. Apabila PAS bersama kita ataupun PN bersama kita, insya-Allah kita akan menang,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyertai program turun padang bersama calon BN bagi DUN Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa, bagi meninjau penerimaan penduduk terhadap calon berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


