PRN MELAKA: JALALUDDIN HASSAN TURUN PADANG, BANTU PERJUANGAN BN-PN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT KATIL 7 November – Pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, meluangkan masa turun padang membantu kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan menyertai gerak kerja mendekati pengundi serta menyantuni jentera parti di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang tiba di Melaka pada Khamis memulakan gerak kerja kempen menerusi program tinjauan mesra di Serkam Pantai bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah, sebelum meneruskan kunjungan ke beberapa kawasan lain.

Jalaluddin berkata, beliau akan berulang-alik dari Seremban ke Melaka bagi membantu kempen BN sehingga menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

Menurutnya, suasana kempen PRN kali ini dilihat lebih tenang, manakala kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menjadi perkembangan positif dalam memperkukuh perpaduan serta gerak kerja jentera kedua-dua gabungan.

“Penggabungan ini mengeratkan lagi ukhuwah dan menguatkan jentera kita. Kita perlu bersatu untuk memastikan kesejahteraan negeri Melaka dan seterusnya mencapai kemenangan pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan DUN Bukit Katil sempena lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Turut bersama, calon PN bagi DUN Bukit Katil, Ridzuan Sarif dan calon PN bagi DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.

Mengulas hubungannya dengan Melaka, Jalaluddin berkata, meskipun bukan anak kelahiran negeri ini, beliau mempunyai pertalian istimewa kerana isterinya berasal dari Serkam Pantai.

“Sebahagian daripada diri saya sudah menjadi orang Melaka kerana isteri saya orang Serkam Pantai,” katanya.

Beliau turut berharap BN akan terus memperoleh kemenangan dan diberi mandat mentadbir Kerajaan Negeri pada PRN Melaka Ke-16 ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENGALAMAN JADI PENGHULU KELEBIHAN TOK JEZ DI SUNGAI RAMBAI
Next post PRN MELAKA: KJ PUJI PRESTASI KERAJAAN BN DITADBIR AB RAUF