DEEPAVALI LEBIH BERMAKNA, TOK RAUF SANTUNI MASYARAKAT INDIA MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

LENDU 7 November – Kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menceriakan suasana sambutan Deepavali bersama masyarakat India di Masjid Tanah, malam tadi.

Lebih bermakna, majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Rekreasi Durian Daun itu menjadi ruang untuk Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka meluangkan masa meraikan masyarakat India menjelang perayaan Deepavali pada 8 November ini.

Beliau berkata, usaha menyantuni rakyat kurang berkemampuan, khususnya setiap kali menjelang musim perayaan mengikut kaum, sudah menjadi amalan berterusan Kerajaan Negeri Melaka.

Menurutnya, meskipun sambutan Deepavali tahun ini berlangsung dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), komitmen membantu masyarakat India menerusi sumbangan perayaan dan bantuan kebajikan bukanlah perkara baharu.

“Memang benar, tahun ini sambutan perayaan Deepavali secara kebetulan berlangsung ketika musim pilihan raya, namun menyantuni kaum India termasuk melalui sumbangan perayaan dan bantuan kebajikan bukan sesuatu yang baharu kita mulakan.

“Sebaliknya, kita sudah melaksanakannya secara berterusan sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama Ketua Bahagian MIC Masjid Tanah, R Sugumar; calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN DUN N.03 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid dan calon BN DUN N.05 Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Ab Rauf yang juga calon BN bagi DUN N.02 Tanjung Bidara berharap sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kemeriahan, kegembiraan dan keharmonian bersama keluarga tersayang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1538
Kongsi :
Previous post BAZAR DEEPAVALI LITTLE INDIA LAMBANG PERPADUAN LEBIH 30 TAHUN