MELAKA PERUNTUK RM100,000 TANGANI KEPERLUAN KOMUNITI INDIA

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 8 November – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 bagi pembinaan tiga gazebo sebagai kemudahan bagi menjalankan ritual selepas kematian untuk kegunaan masyarakat India di Melaka, sekali gus menangani keperluan komuniti itu yang disifatkan telah berlarutan sejak 25 hingga 30 tahun lalu.

Pengerusi MIC Melaka, Datuk VP Shanmugam berkata, penyediaan kemudahan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keperluan masyarakat berbilang kaum, termasuk aspek sosial dan keagamaan, terus diberikan perhatian.

Menurutnya, isu kekurangan kemudahan bagi pelaksanaan upacara keagamaan serta pengurusan kematian antara perkara yang sekian lama dibangkitkan masyarakat India.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM100,000 untuk membina tiga gazebo. Kemudahan ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari segi penggunaannya.

“Saya melihat ini sebagai satu hadiah besar kepada masyarakat India yang sudah sekian lama berdepan isu keperluan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bazar Deepavali, Little India, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, ia membuktikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira keperluan sosial, kebudayaan serta keagamaan setiap komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post TOK RAUF INGATKAN PENGUNDI MUDA, BIJAK MEMILIH DEMI KESTABILAN