
HELMY CAKNA ANAK ISTIMEWA
DUYONG 9 November – Pelbagai inisiatif bagi memperkasa pendidikan dan kebajikan anak-anak istimewa terus menjadi keutamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, menerusi penyediaan kemudahan saringan, terapi dan latihan kemahiran.
Menurutnya, bermula dengan mengadakan saringan awal percuma untuk anak istimewa dua kali setahun, usaha itu akan diperluaskan kepada empat kali bermula tahun hadapan.
Calon nombor dua DUN Duyong ini berkata, melalui saringan awal ia dapat membantu khususnya ibu bapa untuk mengambil tindakan susulan lebih cepat selain.
“Sebelum ini kita hanya lakukan dua kali setahun yang mana setiap setiap sesi hanya boleh melibatkan kira-kira 40 orang sahaja, bermula tahun depan ia akan diadakan sebanyak empat kali.
“Ini antaranya membantu keluarga kurang berkemampuan khususnya mendapatkan akses pengesanan lebih awal sekiranya tidak mereka akan mengambil masa sehingga dua tahun untuk melalui proses ini.
“Ia supaya tindakan awal dapat diambil kerana di DUN Duyong kita yang pertama
mempunyai PPDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) dilengkapi terapi cara kerja yang memberi tumpuan kepada anak berumur empat hingga enam tahun,” katanya.
Mohd Noor Helmy berkata, dalam aspek pendidikan, kemudahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah rendah turut diperluas begitu juga di peringkat menengah apabila program itu tersedia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah.
“Ketika ini, kita juga sedang memohon untuk mewujudkan PPKI di SMK Seri Duyong bagi memberi lebih banyak pilihan kepada anak-anak istimewa meneruskan pendidikan di peringkat menengah,” katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan turut merangkumi penyediaan latihan kemahiran menerusi pembukaan bengkel roti dan pastri di Perkampungan Hang Tuah yang sudah beroperasi sejak Oktober selain turut membabitkan penduduk dari luar Duyong.
“Bengkel ini memberi peluang kepada pelatih PPKI mempelajari kemahiran membuat roti dan pastri sebelum diberikan pendedahan secara praktikal termasuk menjalani latihan dan berniaga di luar.
“Meskipun setiap sesi hanya membabitkan skala yang kecil tetapi kita mahu mereka mendapat pengalaman sebenar selain kemahiran yang dipelajari boleh dimanfaat untuk berdikari sekaligus menjana pendapatan,” katanya.
Jelasnya, selain bengkel roti beliau turut merancang mengadakan latihan kemahiran me jahit yang merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan untuk membina ekosistem sokongan kepada anak-anak istimewa.
“Kita sudah bersedia untuk kemahiran menjahit pula yang mana mesin dan cikgu sudah ada cuma kita perlu mengenal pasti pelatih yang ingin dibimbing.
“Inilah Duyong, bermula daripada saringan awal, pendidikan dan pemulihan sehingga penyediaan kemahiran yang bersesuaian dengan keupayaan anak -anak istimewa ini kita sediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


