PRN MELAKA: BN YAKIN PENERIMAAN DI KAWASAN SASARAN MELEBIHI 70 PERATUS – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 November – Barisan Nasional (BN) Melaka yakin mampu meraih sokongan melebihi 70 peratus di beberapa kawasan sasaran berdasarkan perkembangan positif gerak kerja jentera sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian serta maklum balas yang diterima ketika beliau turun padang mengunjungi beberapa kawasan berkenaan.

“Secara keseluruhan, saya sudah pergi ke banyak kawasan sasaran dan melihat semuanya telah berada pada paras lebih 70 peratus untuk kita mendapat penerimaan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap calon BN N.27 DUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; calon BN N.28 DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abd Aziz.

Mengulas persiapan jentera parti, Ab Rauf berkata, jentera UMNO dan BN di Jasin khususnya di Sungai Rambai kini bersedia untuk menggerakkan usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti di kawasan berkenaan yang berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dalaman sebelum ini, sekali gus membolehkan mereka kembali bergerak secara bersama menghadapi PRN.

“Terima kasih kepada jentera UMNO dan BN di kawasan ini yang berjaya menyelesaikan banyak masalah dalaman sebelum ini, sekali gus membolehkan mereka bergerak bersama menghadapi PRN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post ISU TAHANAN RUMAH NAJIB: ONN HAFIZ GESA NGO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP PEGUAM NEGARA
Next post PRN MELAKA: ‘MACAMLAH PEMIMPIN MEREKA MALAIKAT’ – ONN HAFIZ